PASUKAN mencari dan menyelamat membawa naik mangsa lemas. FOTO Ihsan Polis
PASUKAN mencari dan menyelamat membawa naik mangsa lemas. FOTO Ihsan Polis
Rosli Ilham


REMAJA orang kurang upaya (OKU) Muhammad Al Hadi Samsuri, 13, yang lemas selepas terjatuh ke dalam sungai Cherul, Kemaman, Rabu lalu sudah ditemui pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, mangsa ditemui kira-kira 11 pagi.

Menurutnya, mayat mangsa ditemui tersangkut pada belukar di tepi sungai itu oleh pasukan mencari dan menyelamat.

"Mayat mangsa ditemui selepas dihanyutkan kira-kira sembilan kilometer dari tempatnya dilaporkan jatuh.

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya," katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Roziahanim Abdullah, 46, ketika ditemui berkata, walaupun sedih dengan pemergian anaknya itu namun dia bersyukur mayat anaknya itu dijumpai.

"Saya berterima kasih kepada semua pihak seperti polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam APM dan penduduk kampung yang membantu.

"Terima kasih semua, anda semua banyak membantu dalam operasi pencarian yang meletihkan terutamanya pada bulan Ramadan ini," katanya.

Dalam kejadian 3 petang Rabu lalu, Muhammad Al Hadi dikhuatiri lemas selepas tergelincir ke dalam sungai terbabit ketika bermain bersama abangnya, Mohd Syafiq Hamizan Samsuri, 14.

Berita berkaitan

Remaja lelaki dikhuatiri lemas

OKU hilang menangis minta maaf dengan ibu

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2020 @ 3:03 PM