Hazira Ahmad Zaidi


PENIAGA di Kelantan akur dengan pengumuman kerajaan negeri yang masih mengekalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga ia diputuskan, Khamis ini.

Pemborong pakaian di Bazar Tok Guru di Kota Bharu, Mohd Izuan Razali, 24, berkata, sekiranya dibenarkan berniaga dalam tempoh PKP, dia dan beberapa peniaga lain di pasar berkenaan tetap mengambil keputusan untuk menutup operasi kedai sehingga pandemik Covid-19 berakhir.

"Walaupun terpaksa menanggung kerugian kerana sudah tidak berniaga lebih sebulan, saya tidak boleh berbuat apa-apa. Bagi saya, adalah lebih baik menutup operasi perniagaan sekarang kerana selepas syarat PKP dilonggarkan, kes baharu dilihat semakin meningkat.

"Pada masa sama, jarak antara kedai di bazar ini juga kurang daripada satu meter dan tidak mustahil sekiranya peniaga kembali beroperasi, ia menjadi tumpuan orang ramai untuk membeli persiapan Hari Raya Aidilfitri," katanya.

Tinjauan NSTP di sekitar bandar Kota Bharu mendapati kebanyakan peniaga patuh dengan PKP dan menutup operasi kedai bagi mengekang penularan Covid-19.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula hari ini, namun beberapa kerajaan negeri antaranya Kelantan, Kedah, Sabah, Sarawak, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor menangguhkan pelaksanaannya.

Peniaga Bazar Tok Guru masih menutup operasi. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Peniaga Bazar Tok Guru masih menutup operasi. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, sehingga kini, 36 sekatan jalan raya di seluruh negeri dikekalkan dan menasihatkan rakyat tidak terlalu ghairah keluar dari rumah.

"Saya mengingatkan rakyat di negeri ini supaya terus mematuhi arahan pihak berkuasa walaupun terdapat beberapa kelonggaran dibenarkan seperti keluar berteman atau dua orang satu kereta dalam kalangan isi rumah.

"Sehubungan itu, saya meminta kerjasama sepenuh dan berterusan daripada rakyat untuk terus mematuhi PKP bagi memastikan tiada jangkitan baharu mahupun kes import. Biarpun diberi beberapa kelonggaran, jangan ambil kesempatan kerana wabak ini cepat merebak," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 1:25 PM