BERNAMA

LANGKAH kerajaan mewajibkan individu yang pulang dari luar negara menjalani kuarantin berjaya membendung penularan Covid-19 dan mengekang wujudnya kluster import.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini berikutan sehingga kini, 131 individu yang menjalani kuarantin wajib disahkan positif Covid-19.

"Bayangkan kalau 131 ini kita benarkan mereka pulang dan buat self-quarantine (kuarantin di rumah), ia akan mewujudkan kluster baharu yang akan merebak bukan sahaja kepada keluarga mereka malah masyarakat sekitarnya.

"Jadi, tindakan kita mewajibkan kuarantin bagi rakyat yang pulang dari luar negara adalah tindakan amat tepat sekali," katanya pada sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, 19,945 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dikuarantin wajib sejak 3 April, manakala sejak 17 April, 6,778 individu telah selesai menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang.

Beliau berkata, setakat semalam, sebanyak 209 pusat kuarantin telah beroperasi dengan 16,633 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib.

ANTARA warga tempatan yang dikuarantin sementara melambai sebagai tanda sokongan kepada barisan hadapan yang bertugas, 16 April lalu. FOTO Aswadi Alias
ANTARA warga tempatan yang dikuarantin sementara melambai sebagai tanda sokongan kepada barisan hadapan yang bertugas, 16 April lalu. FOTO Aswadi Alias

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan terus memperketatkan kawalan di sepanjang sempadan negara terutamanya di 'lorong tikus' bagi mengelak pendatang tanpa izin membolosi sempadan negara, sekali gus membendung penularan Covid-19 di negara ini terutama melibatkan kluster import.

"Kerajaan sentiasa tegas dalam memastikan sempadan dan kedaulatan negara tidak diceroboh, justeru pemantauan bagi mengawal sempadan termasuk lorong tikus terus diperhebat dan diperketatkan.

"Sejak PKP dilaksanakan, 84 individu ditangkap kerana menceroboh negara ini melalui lorong-lorong tikus," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2020 @ 5:10 PM