DUA kapal perang AS dilihat belayar di Laut China Selatan.
DUA kapal perang AS dilihat belayar di Laut China Selatan.
Noor Atiqah Sulaiman

KEHADIRAN dua kapal perang Amerika Syarikat (AS) berlayar di Laut China Selatan berhampiran lokasi pertikaian di antara China dan Malaysia mencetuskan tanda tanya.

Bagaimanapun Malaysia berpendirian sebarang masalah, perbezaan dan pertikaian di Laut China Selatan harus ditangani menerusi dialog dan jalan perundingan.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan Laut China Selatan perlu kekal sebagai perairan keamanan dan perdagangan.

Katanya, sebarang permasalahan membabitkan perairan berkenaan perlu diselesaikan berdasarkan prinsip undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.

"Pendirian Malaysia mengenai Laut China Selatan amat jelas dan konsisten. Semua pihak perlu bekerjasama mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di perairan terbabit serta meningkatkan usaha, keyakinan dan saling mempercayai antara satu sama lain.

"Sebagai bekas Menteri Pertahanan, Saya sedar mengenai situasi dihadapi. Kita perlu mengelakkan insiden sama ada disengajakan atau tidak di perairan berkenaan," katanya.

Hishammuddin berkata, walaupun undang-undang antarabangsa menjamin kebebasan pelayaran, kehadiran kapal perang di Laut China Selatan berpotensi meningkatkan ketegangan yang akan menggugat keamanan, keselamatan dan kestabilan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2020 @ 7:45 AM