KEADAAN Hutan Simpan Gelam UMK yang terbakar dalam kejadian pagi semalam. FOTO Ihsan UMK dan Bomba Bachok
KEADAAN Hutan Simpan Gelam UMK yang terbakar dalam kejadian pagi semalam. FOTO Ihsan UMK dan Bomba Bachok
Nor Amalina Alias


KIRA-KIRA 3.2 hektar Hutan Simpan Gelam Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Bachok, Kelantan, terbakar dalam kebakaran pagi semalam.

Kejadian 11.15 pagi itu disedari kakitangan UMK sebelum menghubungi balai bomba dan penyelamat terdekat.

Ketua Keselamatan UMK, Wan Salman Wan Salleh berkata, kebakaran itu membabitkan kawasan hutan di dalam UMK yang menjadi sebahagian besar panorama universiti seluas 310.4 hektar.

Menurutnya, kejadian itu disedari ketua syif unit rondaan yang melihat kepulan asap di kawasan berhampiran hutan itu yang terletak berhampiran ladang ternakan rusa dalam UMK pada 10.20 pagi.

“Kejadian itu bagaimanapun tidak membabitkan mana-mana bangunan berhampiran UMK kerana api berjaya dikawal daripada merebak.

“Kebakaran ini adalah yang paling teruk dalam sejarah UMK Bachok yang sentiasa berhadapan dengan ancaman kebakaran akibat pembakaran terbuka oleh pihak luar,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, kebakaran itu bukan saja memusnahkan keindahan hutan yang menjadi panorama unik dalam kampus, malah menjejaskan fungsi pokok gelam yang menjadi sumber ekosistem bagi manusia dan alam sekitar di kawasan itu selaian kawasan penting kepada sumber pertanian bagi penduduk Bachok.

“Oleh itu, kita mohon kerjasama penduduk untuk jaga alam sekitar terutama kawasan Hutan Gelam ini yang menjadi habitat pelbagai spesis burung dan tumbuhan herba untuk perubatan tradisional.

“Di dalamnya juga ada sarang lebah yang kita percaya menarik perhatian pihak tertentu untuk masuk ke kawasan hutan UMK ini secara sembunyi. Kita berharap mereka akan hargai keunikan hutan ini yang sukar ditemui di tempat lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba, Yus Heary Mahmud berkata, seramai 10 angggota bomba bertugas dalam operasi pemadaman.

Katanya, pihak bomba mengambil masa hampir satu jam untuk memadam kebakaran itu yang turut disertai anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tok Bali, Pasir Puteh.

“Bagaimanapun, punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2020 @ 9:21 PM