Yusmizal Dolah Aling


YANG di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah berkenan mengadakan sesi pra kabinet bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi sidang video di Istana Negara.

Dalam satu kenyataan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, sesi berkenaan julung kali diadakan untuk mesyuarat pra kabinet susulan fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membendung pandemik Covid-19.

“Al -Sultan Abdullah berkenan supaya mesyuarat pra kabinet diteruskan menerusi sidang video semasa PKP untuk baginda berbincang dengan Perdana Menteri khususnya isu semasa.

“Ini mencerminkan keprihatinan tinggi Al-Sultan Abdullah terhadap pentadbiran negara dan kesejahteraan rakyat kerana secara lazimnya, Seri Paduka akan berangkat ke Istana Melawati Putrajaya untuk mesyuarat pra kabinet,” katanya.

Menurutnya, sesi itu berlangsung selama 45 minit hari ini dengan kedua-dua pemimpin kelihatan mesra dan penuh teliti.

Katanya, menerusi sidang video itu, Perdana Menteri merakamkan penghargaan kepada Seri Paduka atas keprihatinan supaya kerajaan tidak membayar Emolumen Diraja selama enam bulan mulai Mac hingga Ogos 2020.

YANG di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah berkenan mengadakan sesi pra kabinet bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi sidang video di Istana Negara.
YANG di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah berkenan mengadakan sesi pra kabinet bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi sidang video di Istana Negara.

“Tan Sri Muhyiddin juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Al-Sultan Abdullah di atas sokongan terhadap keputusan kerajaan melanjutkan tempoh PKP untuk fasa ketiga sehingga 28 April 2020,” katanya.

Beliau berkata, Perdana Menteri juga mengucapkan tahniah kepada Seri Paduka dan keluarga kerana menjalani proses kuarantin diri selama 14 hari dan disahkan negatif Covid-19.

Mesyuarat pra kabinet antara aktiviti mingguan atau rutin utama Seri Paduka untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri.

Kali terakhir ia diadakan ialah pada 18 Mac 2020 kerana pada minggu berikutnya Al Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dinasihatkan Kementerian Kesihatan Malaysia menjalani kuarantin diri selama 14 hari di Istana Negara bermula 25 Mac 2020.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2020 @ 12:59 PM