KAKITANGAN Pemasaran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang memilih buah untuk dihantar kepada pelanggan. FOTO Mohd Rafi Mamat
KAKITANGAN Pemasaran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang memilih buah untuk dihantar kepada pelanggan. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

AKTIVITI jualan secara terus di Pasar Segar Terkawal (PST) ditangguhkan apabila daerah Kuantan dikategorikan sebagai Zon Merah, semalam selepas merekodkan 43 kes positif Covid-19.

Program anjuran Pusat Khidmat Pemasaran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang kini menumpukan kepada tempahan atas talian atau bayar selepas terima (COD) sahaja.

Tinjauan Harian Metro, hari ini mendapati kakitangan FAMA Pahang sibuk menerima pesanan sebelum menghantar barangan ke beberapa kawasan menggunakan pacuan empat roda.

Pelanggan Norazam Abd Aziz, 47, berkata selain produk menawarkan produk segar dan berkualiti, dia beranggapan harga barangan juga lebih murah antara lima hingga 20 peratus.

Menurutnya, dia membuat belian secara COD dengan menghantar pesanan menggunakan aplikasi WhatsApp sebelum menerima tempahan buah dan sayur tidak lama kemudian.

“Saya berkongsi dengan jiran bagi mendapatkan jumlah belian melebihi RM100 dan amat berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan.

“Kaedah ini juga dapat membantu pengguna mendapatkan bekalan buah yang segar dan berpatutan, lebih utama perkhidmatan penghantaran disediakan.

“Saya berharap jualan COD dapat terus diadakan selepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) berakhir bagi kemudahan pengguna,” katanya.

Sebelum ini, PST yang terletak di perkarangan Pejabat FAMA Batu Lima Jalan Kuantan-Gambang mendapat sambutan menggalakkan apabila ramai pelanggan datang bagi mendapatkan barangan keperluan seperti sayur, buah, ikan, ayam dan daging.

Turut disediakan barangan kawalan yang dipasarkan oleh Kedai Agrobazaar yang menyediakan bekalan seperti beras, minyak masak, gula dan tepung.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2020 @ 5:17 PM