FAMA Negeri Sembilan mewujudkan Pasar Segar Terkawal (PST) Pandu Lalu di Pusat Operasi FAMA di Jalan Labu Seremban sebagai kaedah terbaik penjarakan sosial pengguna. FOTO Mohd Amin Jalil.
FAMA Negeri Sembilan mewujudkan Pasar Segar Terkawal (PST) Pandu Lalu di Pusat Operasi FAMA di Jalan Labu Seremban sebagai kaedah terbaik penjarakan sosial pengguna. FOTO Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil


LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sembilan mewujudkan tiga Pasar Segar Terkawal (PST) di negeri ini bermula fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), 1 April lalu.

Pengarah FAMA negeri, Asmizal Jaafar berkata, program itu diteruskan hingga kini bagi memenuhi keperluan dan memudahkan rakyat mendapatkan bahan makanan diperlukan.

Katanya, tiga PST itu ialah di Pusat Operasi FAMA Seremban di Jalan Labu dan Pasar Tani Kekal Paroi di Kilometer 12, Jalan Seremban-Kuala Pilah serta Pasar Tani Kekal Jempol, Bandar Seri Jempol.

“Kami memperkenalkan konsep pandu lalu di ketiga-tiga PST ini sebagai kaedah terbaik penjarakan sosial sewaktu PKP dan kaedah ini menjadi norma baharu bagi outlet peruncitan barangan segar serta diterima baik pengguna.

“Kaedah pembeliannya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) digariskan pihak berkuasa,” katanya di Seremban, hari ini.

Asmizal berkata, bagi tempoh 1 hingga 17 April, PST FAMA Negeri Sembilan berjaya mencatat nilai jualan keseluruhan melalui kaedah pandu lalu dan pra pesanan/penghantaran sebanyak RM420,442.

Beliau berkata, 35 usahawan mendapat faedah daripada pelaksanaan PST ini dan memberikan kemudahan kepada 5,463 pengguna.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pusat Operasi FAMA berjaya menyelesaikan masalah pemasaran membabitkan 37 pengeluar di negeri ini yang tidak dapat menjual hasil mereka berikutan pelanggan/pemasar membatalkan tempahan membabitkan nilai belian RM108,112.

Menurutnya, ia membabitkan produk sayur-sayuran, jagung dan buah-buahan sebanyak 31.7 matrik tan.

Katanya, FAMA negeri membantu dengan memasarkan produk mereka di PST (35 peratus), pasar borong (22 peratus), FAMA negeri lain (20 peratus), pasar raya (15 peratus) dan outlet peruncitan FAMA (8 peratus).

“Bagi masalah penanam tebu telor yang dijangka tidak dapat memasarkan hasil mereka berikutan tiada bazar Ramadan, tebu itu akan disalurkan kepada syarikat pengeluar minuman air tebu dibotolkan tempatan.

“Seramai 32 penanam tebu dengan keluasan 55.2 hektar terbabit dengan masalah itu dan dijangka 80,000 botol bersaiz 350 mililiter air tebu sejuk beku dengan jangka hayat selama tiga bulan boleh dihasilkan.

“FAMA Negeri Sembilan akan memasarkan air minuman sejuk beku ini ke seluruh rangkaian PST di Semenanjung dan menerusi pemasaran dalam talian melalui Agrobazaar Online atau www.agrobazaar.com.my,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 2:23 PM