NORAZEAN menemani anaknya, Muhammad Danish Haqeem, 17, dan Muhammad Farish Haqeem, 12, menonton siaran TV Pendidikan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
NORAZEAN menemani anaknya, Muhammad Danish Haqeem, 17, dan Muhammad Farish Haqeem, 12, menonton siaran TV Pendidikan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Syaherah Mustafa


LANGKAH Kementerian Pendidikan memperkenalkan Televisyen (TV) Pendidikan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula hari ini, mendapat reaksi positif ibu bapa dan pelajar.

Program pendidikan menerusi saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV Okey, itu dilakukan secara berjadual untuk semua pelajar terutama yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Chiku, Gua Musang, Norazean Mohd Nor, 45, yang mempunyai dua anak bakal menduduki UPSR dan SPM tahun ini berkata, TV Pendidikan adalah suatu langkah terbaik malah dilihat dapat menarik minat anaknya belajar walaupun dalam tempoh PKP.

“Pagi ini, anak saya, Muhammad Farish Haqeem Abd Halim, 12, memulakan pembelajaran pertamanya melalui TV Pendidikan dan dia teruja menimba ilmu dengan cara baru terbabit.

“Malah, saya turut serta bersama anak melihat cara pembelajaran ini. Sebagai seorang pendidik, saya berpendapat setiap penerangan serta visual yang disampaikan mudah difahami selain diterangkan secara terperinci.

“Sebagai contoh, untuk sesi pertama bagi calon UPSR, pada 9 pagi hingga 9.26 pagi, hari ini, memaparkan pembelajaran subjek Bahasa Melayu (Penulisan) yang mana ia diterangkan lengkap dengan contoh pendahuluan, isi kandungan serta penutup sama seperti di dalam kelas,” katanya yang tinggal di Kampung Bunut Susu, Pasir Mas.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin dilaporkan berkata, sesi pembelajaran melalui TV Pendidikan itu menawarkan siri latihan kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan, khususnya yang tidak mempunyai akses Internet.

Norazean berkata, lebih memudahkannya apabila setiap peringkat pembelajaran disediakan mengikut saluran berbeza iaitu saluran 601 untuk UPSR, 602 bagi PT3, manakala 603 disediakan kepada calon SPM.

“Sebagai seorang guru, sebelum ini saya mengambil inisiatif menggunakan aplikasi WhatsApp untuk berhubung dengan pelajar bagi memastikan sesi pembelajaran tetap diteruskan namun ada cabarannya kerana bukan semua pelajar memiliki telefon bimbit sendiri terutama yang masih bersekolah rendah.

“Justeru, dengan adanya TV Pendidikan ia bukan sahaja melegakan hati kami barisan pendidik malah semua golongan ibu bapa yang sebelum ini meluahkan kerisauan kerana bimbang nasib anak-anak terutama yang bakal menempuh peperiksaan penting,” katanya.

Sementara itu, bagi Muhammad Danish Haqeem Abd Halim, 17, TV Pendidikan memberi sedikit kelegaan kepadanya yang risau tertinggal sesi pembelajaran memandangkan dia bakal menghadapi SPM pada November nanti.

“Hari ini, bermula 9.27 pagi sehingga 9.43 pagi, saya belajar subjek Sains iaitu bahagian Proses Pengekstakan Minyak Sawit. Alhamdulillah saya dapat memahami dengan mudah kerana ia diajar tidak terlalu laju selain penggunaan visual menarik membuatkan saya terus memberi perhatian.

“Memang terasa lain belajar tanpa guru di depan dan kawan-kawan sekeliling namun sekurang-kurangnya masih ada cara untuk pelajar seperti saya menimba ilmu sepanjang PKP ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 12:02 PM