Nurul Amanina Suhaini


SERAMAI 74 individu ditahan pada hari pertama fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam kerana ingkar arahan.

Ia menjadikan seramai 685 individu di seluruh Johor ditahan kerana ingkar arahan sepanjang tempoh PKP yang bermula 18 Mac hingga semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, individu ingkar PKP yang ditahan semalam berusia 20 hingga 62 tahun.

Katanya, bermulanya fasa kedua PKP, polis Johor akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap mana-mana individu yang ingkar dan tidak mematuhi arahan yang ditetapkan.

“Sehubungan itu, kerjasama semua pihak diharapkan untuk sentiasa berada di rumah seterusnya mengelak dikenakan tindakan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

POLIS mengadakan sekatan jalan raya pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan fasa kedua. FOTO Saifullizan Tamadi
POLIS mengadakan sekatan jalan raya pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan fasa kedua. FOTO Saifullizan Tamadi

Katanya, sehingga kini, 165 individu didakwa di mahkamah atas kesalahan ingkar PKP.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

Sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2020 @ 11:00 AM