POLIS dan tentera yang bertugas di sekatan jalan raya (sjr) memakai mask, sarung tangan dan penutup muka bagi mencegah jangkitan wabak Covid-19. FOTO IHSAN IPD Hulu Terengganu
POLIS dan tentera yang bertugas di sekatan jalan raya (sjr) memakai mask, sarung tangan dan penutup muka bagi mencegah jangkitan wabak Covid-19. FOTO IHSAN IPD Hulu Terengganu
Zaid Salim


IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu menghasilkan sendiri penutup muka untuk kegunaan pegawai dan anggota yang bertugas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh daerah itu.

Inisiatif itu diambil susulan kesukaran untuk mendapat bekalan produk terbabit bagi mencegah penularan wabak Covid-19 selain penutup hidung dan mulut dan cecair pembasmi kuman.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, pihaknya menggunakan wang kelab IPD Hulu Terengganu bagi membeli barangan untuk membuat alat berkenaan yang berharga 50 sen setiap satu.

“Penutup muka atau Face Protector itu akan diberi kepada lebih 200 anggota dan pegawai termasuk 40 anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di seluruh daerah ini.

“Kita bukan sahaja menjaga keselamatan petugas di lapangan, malah kebajikan keluarga mereka juga dititikberatkan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau meminta orang ramai khususnya masyarakat yang tinggal di daerah berkenaan mematuhi arahan PKP dan sentiasa berada di rumah.

“Kita tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan menahan sesiapa sahaja yang didapati dengan sengaja berada di luar rumah tanpa tujuan penting,” katanya.

Sepanjang tempoh PKP bermula 18 Mac lalu sehingga kini, IPD Hulu Terengganu belum merekodkan sebarang tangkapan membabitkan ingkar arahan PKP berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 6:44 PM