Petugas MDCH melakukan semburan penyahkuman di kawasan tumpuan pelancong. FOTO Ihsan MDCH
Petugas MDCH melakukan semburan penyahkuman di kawasan tumpuan pelancong. FOTO Ihsan MDCH
Asrol Awang


BAGI memastikan Cameron Highlands bebas virus Covid-19, Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) melaksana proses pembersihan dan penyucian nyahcemar di kawasan tumpuan pelancong di situ.

Setiausaha MDCH Mazlan Mohamed Isa berkata, kawasan dikenal pasti adalah di Tanah Rata, Brinchang, Kampung Raja dan Ringlet.

Katanya, setakat ini, empat masjid sudah menjalani proses itu yang dilaksana sejak minggu lalu.

“Semua taman awam yang menjadi daya tarikan pengunjung tempatan dan pelancong luar negara akan menjalani proses sama, malah sudah pun ditutup sepenuhnya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

“Lokasi tarikan seperti papan tanda Selamat Datang Ke Cameron Highlands yang menjadi tempat orang bergambar juga dibersihkan, selain lima pasar awam yang dilakukan pada 2 petang setiap hari,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini semua kerja pembersihan itu berjalan lancar dan mendapat kerjasama penduduk.

Mazlan juga memuji kerjasama penduduk yang mematuhi arahan PKP dan menganggarkan 95 peratus pematuhan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 3:36 PM