Laluan sehala yang dilaksanakan di Pekan Brinchang, Cameron Highlands.
Laluan sehala yang dilaksanakan di Pekan Brinchang, Cameron Highlands.
Muhammad Apendy Issahak


Cameron Highlands: Sejak pelaksanaan laluan sehala di Pekan Brinchang, di sini bermula Jumaat lalu berlaku kesesakan lalu lintas di kawasan tumpuan pelancongan dan ia bertambah sesak dengan pertambahan kenderaan kerana cuti sekolah.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands Deputi Superintendan Hasadid A Hamid berkata, tempoh pelaksanaan laluan sehala itu masuk hari ketiga hari ini dan pemantauan yang dilakukan mendapati berlaku kesesakan lalu lintas terutama di laluan Pekan Tanah Rata menghala ke Kea Farm.

"Daripada pemantauan yang dibuat sepanjang tempoh ini Cameron Highlands mengalami pertambahan kenderaan sekali ganda pada hari bekerja biasa.

"Keadaan ini menyebabkan berlakunya kesesakan, namun kesesakan hanya berlaku di laluan dari Pekan Tanah Rata menghala ke Kea Farm berbanding keadaan sebelum ini yang mana kesesakan adalah dari kedua-dua arah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, kajian sedang dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) sepanjang tempoh percubaan laluan sehala selama sebulan itu bagi mengenal pasti tahap keberkesanannya.

"Perancangan laluan sehala ini adalah usaha bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands dan sehubungan itu diharapkan masyarakat memberi kerjasama bagi membantu mencari jalan penyelesaian pemasalahan ini," katanya.

Hasadid berkata, masyarakat juga dinasihatkan tidak mengeluarkan spekulasi dan pendapat yang tidak berasas berhubung usaha yang dilakukan itu kerana ia masih diperingkat kajian.

Pihak berkuasa Cameron Highlands melaksanakan percubaan laluan sehala setiap hari di Pekan Brinchang bermula Jumaat lalu sehingga 16 April ini.

Dua laluan terbabit dalam pelaksanaan itu adalah di lokasi tumpuan utama iaitu di Kilometer 64, Hadapan Iris Hotel (menuju ke Pekan Brinchang) dan Kilometer 65, dihadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands (menuju ke Tanah Rata).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2017 @ 8:02 PM