CECAIR pembasmi kuman yang dihasilkan UMT. FOTO ihsan UMT
CECAIR pembasmi kuman yang dihasilkan UMT. FOTO ihsan UMT
Ahmad Rabiul Zulkifli


UNIVERSITI Malaysia Terengganu (UMT) melalui Institut Bioteknologi Marin (IMB) menghasilkan cecair pembasmi kuman untuk kegunaan seluruh warganya.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar berkata, kepakaran penyelidik UMT terbukti apabila berjaya menghasilkan cecair pembasmi kuman keluaran UMT sendiri.

“Cecair pembasmi kuman itu mempunyai bahan aktif yang berasaskan alkohol (70 peratus).

Kepekatan alkohol ini diguna meluas dalam banyak produk cecair pembasmi kuman kerana kemampuannya membunuh pelbagai jenis kuman seperti bakteria dan virus yang menyebabkan penyakit.

“Cara penyediaan cecair pembasmi kuman ini adalah mengikut cadangan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dengan sedikit perubahan daripada segi komposisi bahan yang digunakan,” katanya.

Beliau berkata, idea UMT untuk menghasilkan cecair pembasmi kuman sendiri tercetus apabila wabak Covid-19 semakin meningkat sekali gus menyebabkan negara mengalami kekurangan bekalan berkenaan.

“Sekumpulan penyelidik UMT yang diketuai Prof Dr Yeong Yik Sung dan Prof Dr Fadzilah @ Adibah Abdul Majid diberi kepercayaan mengetuai dan mencipta formula bagi menghasilkan cecair pembasmi kuman keluaran UMT.

“Saya difahamkan Dr Yik Sung dan pasukannya mengambil tindakan segera untuk menghasilkan cecair pembasmi kuman ini.

“Sepanjang tempoh itu mereka berdepan dengan kesukaran mendapatkan bekalan bahan mentah untuk penghasilan cecair pembasmi kuman itu,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 2,000 botol dihasilkan pada fasa pertama produksi.

“Produk itu bukan untuk dijual dan hanya dibekalkan kepada warga UMT. Kami turut bercadang mengagihkannya kepada masyarakat sekitar UMT sekiranya bahan mencukupi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 10:44 AM