GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Melvin Joni


BEKALAN darah di Bank Darah, Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kuching berkurangan dengan ketara akibat kebimbangan penularan koronavirus baharu (Covid-19).

Pegawai perubatan pakar HUS, Dr Wong Yi Shen berkata, Bank Darah HUS sangat memerlukan pengisian semula darah pada kadar segera dan mendesak, terutama bagi kumpulan darah B dan AB.

“Kami memerlukan bekalan darah yang berterusan kerana kami mempunyai pesakit yang bergantung kepada transfusi seperti pesakit thalassemia, pesakit kanser dan juga wanita bersalin yang mengalami perdarahan, mereka memerlukan pemindahan darah,” katanya yang ditemu bual di sini, hari ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata, HUS memerlukan sekurang-kurangnya 50 unit darah setiap hari tetapi pada masa ini, Bank Darah hanya dapat mengumpulkan lebih dari 30 unit darah sehari daripada penderma darah.

Katanya, pengurangan bekalan darah yang ketara itu disebabkan stigma masyarakat bahawa apabila mereka pergi ke HUS, mereka berisiko dijangkiti Covid-19.

Justeru, Yi Shen berkata, kebimbangan sedemikian tidak perlu muncul kerana Bank Darah HUS dipisahkan dari wad lain, terutama yang membabitkan penyakit berjangkit.

“Orang ramai tidak perlu bimbang kerana Covid-19 tidak akan tersebar melalui pemindahan darah.

“Ini dinyatakan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Darah Negara bahawa Covid-19 tidak boleh disebarkan apabila seseorang menderma atau menerima darah,” katanya.

Justeru bagi menggalakkan orang ramai datang menderma darah bagi menambah bekalan darah, Yi Shen berkata, Bank Darah HUS telah membuka pusat menderma darah alternatif di Dewan Masyarakat, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di Kuching, hari ini.

Katanya, pusat yang dibuka dengan kerjasama MBKS dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Sarawak itu akan beroperasi dari 9 pagi hingga 4 petang setiap hari mulai hari ini.

“Orang ramai digalakkan menderma darah ke pusat ini dengan syarat mereka sihat, tidak mempunyai sejarah perjalanan ke negara-negara Covid-19 dan hubungan dengan pesakit Covid-19,” katanya.

Yang hadir sama Datuk Bandar MBKS, Datuk Wee Hong Seng, Pengarah PBSM Sarawak Chai King Sing dan Naib Pengerusi PBSM Sarawak John Lam.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 2:21 PM