GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Nurul Hidayah Bahaudin


HARGA siling penutup mulut dan hidung akan diturunkan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, pengumumannya akan dilakukan dalam masa terdekat.

Katanya, hasil perbincangan dalam mesyuarat hari ini, harga siling baharu akan ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Harga siling RM2 bagi setiap satu topeng adalah terlalu mahal. Justeru, mesyuarat bersetuju harga siling berkenaan mesti diturunkan.

“Harga siling baharu akan ditetapkan pihak KPDNHEP selepas berbincang dengan industri berkaitan dan akan diumumkan segera,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini.

Selain itu, beliau turut memaklumkan semua pengusaha stesen minyak diwajibkan menyediakan cecair pembasmi kuman kepada pengguna.

“Ada ramai membangkitkan isu berkaitan pam di stesen minyak yang digunakan secara bergilir-gilir. Justeru, kami bersetuju mewajibkan stesen minyak menyediakan cecair pembasmi kuman.

“Ia bagi membolehkan setiap pemandu untuk mencuci tangan mereka sebelum mengepam minyak dan mencuci semula tangan mereka selepas menggunakan pam berkenaan,” katanya.

Katanya, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya patuh terhadap arahan pihak berkuasa sepanjang pelaksanaan PKP dengan hanya keluar rumah pada waktu yang perlu sahaja.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2020 @ 4:22 PM