ANGGOTA Polis dan Tentera membuat pemeriksaan keatas kenderaan awam. FOTO FATHIL ASRI
ANGGOTA Polis dan Tentera membuat pemeriksaan keatas kenderaan awam. FOTO FATHIL ASRI
Muhaamad Hafis Nawawi


IBU Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya akan membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan jemaah tabligh yang hadir di perhimpunan ijtimak di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur bagi menjalani ujian Covid-19.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya ada menerima maklumat terdapat tabligh yang tinggal di daerah ini.

“Bagaimanapun saya tidak dapat mendedahkan jumlahnya namun kita akan membantu KKM mengesan mereka,” katanya pada sidang media Bantuan Penugasan Op Joint Patrol Covid-19 Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Petaling Jaya, hari ini.

Nik Ezanee berkata, seorang pegawai berpangkat Leftenan dan 30 anggota ATM dari 25 Rejimen Askar Melayu Diraja, Bentong, Pahang akan membantu penugasan polis di Petaling Jaya bermula hari ini.

“Buat masa ini mereka akan mula membantu sekatan jalan raya di daerah ini namun pada masa hadapan bergantung pada situasi di mana mungkin membuat tugasan lain selain sekatan jalan raya.

“Sebanyak lima sekatan jalan raya diadakan 24 jam setiap hari di kawasan Kampung Medan, Taman Datuk Harun, Lebuhraya Damansara Puchong, Lebuhraya Persekutuan dan laluan utama,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga mengadakan Team Cantas yang memeriksa kenderaan yang tidak sepatutnya berada di sesuatu kawasan supaya tiada yang mengambil kesempatan melakukan jenayah.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2020 @ 7:19 PM