PERNIKAHAN Nurul Nabilah dan Azim tular di media sosial. FOTO Facebook Mohammad Anuar Bakar (Mat Anuar)
PERNIKAHAN Nurul Nabilah dan Azim tular di media sosial. FOTO Facebook Mohammad Anuar Bakar (Mat Anuar)

“WALAUPUN majlis akad nikah tidak berlangsung seperti dirancang, namun saya masih bersyukur kerana semuanya sudah selesai dengan selamat.”

Begitu kata pelukis pelan Nurul Nabilah Saiful Yezin, 25, yang melangsungkan akad nikah di rumah jurunikah di Telok Ayer Tawar, Butterworth sambil ditemani 10 tetamu termasuk saksi berikutan akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Nurul Nabilah ketika dihubungi berkata, pernikahan bersama pasangannya, Azim Adzman, 25, juga pelukis pelan dijadualkan berlangsung semalam, diikuti majlis persandingan, hari ini.

Katanya, apabila kerajaan mengumumkan PKP berkuat kuasa Rabu lalu, keluarganya mulai buntu sama ada mahu membatalkan atau menunda majlis berkenaan.

“Ayah terduduk dan tergamam semasa mendengar pengumuman perintah itu dan semuanya dalam keadaan tertekan berikutan persiapan sudah lebih 90 peratus dilakukan.

“Selepas perbincangan kedua-dua belah pihak, kami ambil keputusan meneruskan juga penikahan tetapi menangguhkan dahulu majlis persandingan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nurul Nabilah berkata, sehari sebelumnya jurunikah Sobri Mahmud, memaklumkan pernikahan tidak boleh dilakukan di masjid, tetapi akan dijalankan di rumahnya.

Katanya, selain pasangan pengantin, hanya wali, saksi dan beberapa ahli keluarga sahaja dibolehkan hadir iaitu tidak melebihi 10 orang.

“Kami juga terharu dengan persiapan jurunikah kerana menyediakan pondok yang cantik, bangku serta cecair pembasmi kuman.

“Urusan pernikahan ini berjalan dengan lancar walaupun dalam masa yang singkat.

“Malah, kami tidak berjabat tangan atau bersentuhan antara satu sama lain dan bersurai segera sejurus selesai,” katanya.

PERNIKAHAN ini berjalan tanpa berjabat tangan atau bersentuhan antara satu sama lain dan bersurai segera sejurus selesai. FOTO Facebook Mohammad Anuar Bakar (Mat Anuar)
PERNIKAHAN ini berjalan tanpa berjabat tangan atau bersentuhan antara satu sama lain dan bersurai segera sejurus selesai. FOTO Facebook Mohammad Anuar Bakar (Mat Anuar)

Nurul Nabilah berkata, dia memohon maaf kepada semua tetamu berikutan pembatalan majlis persandingan, namun bercadang mahu mengadakannya selepas Hari Raya Aidilfitri.

“Memang terkilan, namun demi kesihatan tetamu adalah lebih baik ia ditunda sehingga keadaan kembali pulih dan mungkin ada rezeki lain yang menanti,” katanya.

Kisah pernikahan Nurul Nabilah dan Azim tular di media sosial selepas gambar majlis itu dimuat naik oleh jurugambar mereka, Mohammad Anuar Bakar dengan kiriman doa serta meminta keluarga pengantin supaya bersabar.

Malah, warganet turut memuji tindakan keluarga pengantin itu yang mengambil berat dan patuh terhadap PKP.

Sementara itu, Mohammad Anuar ketika dihubungi berkata, ia adalah saat paling mencabar dalam suasana berbeza serta perlu menjarakkan diri dengan semua individu yang hadir.

“Majlis pula berlangsung kira-kira 10 minit berbanding kebiasaannya, jadi saya perlu cepat dan peka kerana tidak mahu terlepas detik berbahagia itu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2020 @ 4:44 PM