GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

KENAIKAN tiga angka kes baharu Covid-19 di Malaysia selama enam hari berturut-turut, menjadikan jumlah kes penyakit ini melonjak kepada 1,030, setakat rangkuman dikemaskini petang ini.

Hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan akhbar mengumumkan sebanyak 130 kes baharu, dan sehingga kini, 26 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala 12 lagi pesakit dilaporkan pulih sepenuhnya, menjadikan jumlah pesakit yang discaj 87 orang.

Malaysia mencatat kenaikan kes baharu tiga angka bermula Ahad (15 Mac) sebanyak 190 kes. Ini diikuti pada Isnin (16 Mac) 125 kes, Selasa (17 Mac) 120 kes, Rabu (18 Mac) 117 kes dan Khamis (19 Mac) 110 kes.

Sebanyak dua kematian pertama akibat Covid-19 dicatat pada Selasa 17 Mac, iaitu pesakit kes ke-178 dan ke-358.

Kes ke-178, ialah seorang lelaki warga Malaysia yang menghadiri perhimpunan tabligh di Seri Petaling, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Kes ke-358 ialah seorang paderi lelaki berusia 60 tahun di Kuching, Sarawak.

Kes Covid-19 sebelum 15 Mac adalah dalam lingkungan kenaikan dua angka. Kebanyakan kes baharu bermula 15 Mac dikaitkan dengan peserta perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling, Selangor yang berlangsung dari 27 Februari hingga 1 Mac lepas.

Perhimpunan itu dianggarkan dihadiri 16,000 orang peserta dari beberapa negara. Peserta Malaysia dianggarkan 14,500 Malaysia.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah pada Khamis, setakat ini 10,650 orang peserta perhimpunan itu sudah dapat dikesan. dan daripada jumlah itu, setakat ini, seramai 513 disah positif Covid-19.

Hari ini, beliau berkongsi dalam laman Facebooknya bahawa seramai 12 petugas kesihatan awam dijangkiti Covid-19, termasuk seorang yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan mesin pernafasan.

Menurut beliau, turut dijangkiti ialah tiga kakitangan perubatan swasta.

LANGKAH DRASTIK KERAJAAN

Pertambahan drastik kes baharu menyebabkan kerajaan terpaksa menguatkuasakan beberapa langkah termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac sehingga 31 Mac ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membuat pengumuman langkah PKP itu sekali lagi membuat perutusan khas yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen malam Rabu lalu, merayu kepada rakyat Malaysia supaya mematuhi arahan PKP.

Kerajaan mungkin terpaksa melanjutkan tempoh PKP sekiranya rantaian jangkitan Covid-19 tidak terputus dalam tempoh dua minggu ini.

Pada 16 Mac, Perdana Menteri memaklumkan pengurusan Covid-19 kini diletakkan di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN), susulan perkembangan terkini wabak itu di Malaysia.

Sementara itu, Dr Noor Hisham menekankan bahaya yang mungkin muncul jika masyarakat mengambil sikap sambil lewa akan arahan PKP.

Negara, kata beliau, mungkin menghadapi gelombang ketiga virus ini yang seterusnya akan menjadi lebih besar seperti tsunami lebih-lebih lagi jika masyarakat mempunyai sikap tidak kisah.

Untuk rekod, negara mengalami gelombang kedua Covid-19 bermula 27 Februari.

TAHAP KEUPAYAAN KORONAVIRUS

Sementara itu, laporan sebuah akhbar tempatan menyebut kajian yang diterbitkan menerusi New England Journal of Medicine (NEJM) semalam bahawa koronavirus yang menyebabkan penyakit Covid-19 didakwa boleh bertahan di atas beberapa permukaan selama beberapa hari atau di udara selama beberapa jam.

Menurut laporan itu, saintis dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat mendapati virus yang mempunyai tahap keupayaannya apabila berada di luar tubuh manusia adalah sama seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).

Ini bermakna penyebaran antara individu tidak mempunyai simptom adalah lebih berisiko tinggi. Koronavirus baharu itu dikesan sehingga empat jam pada permukaan tembaga dan dua hingga tiga hari pada permukaan plastik dan keluli tahan karat manakala sehingga 24 jam pada permukaan kadbod.

Pasukan terbabit turut menggunakan penebula untuk simulasi individu batuk atau bersin yang mendapati virus itu menjadi aerosol yang bermakna zarahnya tergantung di udara dan boleh dikesan selama hampir tiga jam.

Sebelum ini, virus itu didakwa disebarkan secara meluas melalui titisan pernafasan yang bertahan selama beberapa saat selepas individu batuk atau bersin.

SITUASI GLOBAL COVID-19

Statistik terkini Covid-19 di seluruh dunia seperti tertera di laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia sehingga 9 pagi hari ini, yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah seperti berikut:

• Jumlah keseluruhan kes, 242,830 dengan membabitkan 170 negara.

• Jumlah kematian keseluruhan pula 9,857 orang.

• Jumlah kes di China, 81,264 dengan kematian 3,250.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac akhirnya melabelkan wabak penyakit Covid-19 sebagai pandemik.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam ucapannya secara langsung pada sidang media di Geneva, Switzerland pada 18 Mac berkata lebih daripada 200,000 kes Covid-19 dilaporkan kepada Pertubuhan itu dan lebih daripada 8,000 orang maut.

Lebih daripada 80 peratus kes adalah dari dua rantau iaitu Pasifik Barat dan Eropah.

Beliau turut menyatakan usaha keras diperlukan untuk membanteras wabak penyakit Covid-19 dan beliau mengambil contoh kejayaan Korea Selatan menangani wabak tersebut.

WHO kini bekerjasama dengan negara lain untuk menggunakan pengalaman Korea dan negara lain dan diaplikasikan kepada negara yang menjadi sasaran.

Beliau turut mengumumkan ujian klinikal pertama vaksin sudah dimulakan, hampir 60 hari selepas urutan genetik virus dikongsi oleh China.

Pegawai kesihatan mengatakan tempoh sekurang-kurangnya 12 hingga 18 bulan diperlukan sebelum vaksin itu dapat digunakan.

Tedros menyeru penyelidik di seluruh dunia berganding bahu untuk membuat penilaian terhadap eksperimen terapeutik. Sehubungan itu, WHO dan rakannya menganjurkan satu kajian bersama dengan beberapa negara antaranya Argentina, Bahrain, Kanada, Perancis, Iran, Norway, Afrika Selatan, Sepanyol, Switzerland dan Thailand.

KES GLOBAL TERUS MENINGKAT

Berdasarkan statistik WHO sehingga semalam (19 Mac), tiga negara teratas dengan jangkitan penyakit Covid-19 yang tinggi, di luar China ialah Itali, Iran dan Sepanyol.

Itali: Jumlah kes Covid-19 di Itali setakat ini berjumlah 41,035 dengan 3,405 kematian. Itali kini mengatasi China dalam jumlah kematian.

Dilaporkan lebih daripada 2,000 orang berada di unit rawatan rapi di seluruh Itali, negara Eropah yang paling teruk dilanda wabak Covid-19.

Iran: Kementerian Kesihatan Iran menganggarkan Covid-19 meragut nyawa seorang rakyat Iran setiap 10 minit, demikian menurut laporan Agensi Berita Rasmi Iran, IRNA Khamis.

Justeru, rakyat Iran digesa meraikan perayaan Tahun Baharu negara itu, Nowruz, yang jatuh pada Jumaat 20 Mac, di rumah.

Jumlah kes di Iran setakat ini 18,407 dengan 1,284 kematian.

Sepanyol: Setakat 20 Mac, kes Covid-19 di Sepanyol sebanyak 17,963 dengan 767 kematian. Negara itu juga mengisytiharkan keadaan berjaga-jaga, menutup semua perkhidmatan kecuali yang mustahak dan mengarahkan 46 juta orang rakyatnya duduk di rumah. Mereka hanya dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan atau ubat-ubatan atau bekerja atau mendapatkan rawatan perubatan

Seoul: Korea Selatan mencatat kenaikan kes baharu Covid-19 Khamis, dengan wabak baru di sebuah rumah penjagaan di Daegu, bandar yang sebelum ini paling banyak mencatat kes penyakit ini.

Pusat Kawalan Penyakit Korea (KCDC) melaporkan 152 kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 8,565. Daegu mencatat 97 kes daripada jumlah 152 itu dan sekurang-kurangnya 74 pesakit di rumah penjagaan itu disahkan positif.

Negara lain yang mencatat jumlah kes Covid-19 yang besar termasuk:-

Jerman 15,320 (28 kematian), Amerika Syarikat 13,680 (188 kematian), Perancis 10,886 (372 kematian), Korea Selatan 8,565 991 kematian), Switzerland 4,075 (39 kematian), United Kingdom 2,716 (144 kematian), Belanda 2,465 (58 kematian), Austria 2,013 (4 kematian), Belgium 1,795 (14 kematian), Norway 1,746 (6 kematian), Sweden 1,439 (10 kematian), Denmark 1,225 (4 kematian) dan Jepun 924 (33 kematian).

LATAR BELAKANG COVID-19

– Penularan wabak Covid-19 yang pada awalnya dipanggil virus Wuhan berlaku ketika masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di China membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

– Virus dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada 31 Dis 2019 selepas WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut.

– Menurut WHO, pihak berkuasa China pada 7 Januari lalu mengesahkan koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia.

– WHO memberi nama rasmi virus ‘2019-nCoV’ iaitu Covid-19, singkatan untuk Corona Virus Disease 19. Virus ini dilaporkan mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar.

– Pegawai kesihatan China mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta.

– Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Februari menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit Covid-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2020 @ 6:57 PM