TALI pita dipasang di pintu masuk Masjid al-Ehsan, Kampung Londang, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
TALI pita dipasang di pintu masuk Masjid al-Ehsan, Kampung Londang, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar

“INILAH kali pertama saya tidak dapat menunaikan solat berjemaah Subuh di masjid ini sejak 47 tahun lalu,” ujar Othman Abdullah, 74, yang ditemui wartawan, semalam.

Menurutnya, menjadi rutin untuknya datang ke Masjid al-Ehsan, Kampung Londang, Masjid Tanah, untuk menunaikan ibadah itu saban hari.

“Ini kali pertama saya dan orang lain tidak boleh menunaikan solat berjemaah di masjid, tetapi saya akur kepada hak dan ketentuan Allah SWT yang menurunkan wabak Covid-19 ke atas manusia. Saya yakin pasti ada hikmah di sebaliknya,” katanya.

Seorang lagi jemaah, Sulaiman Abdul Majid, 69, berkata, dia berasa ganjil dalam hidupnya awal pagi semalam kerana lazimnya berada di masjid untuk menunaikan solat Subuh berjemaah, tetapi kali ini terpaksa solat bersendirian di rumah.

Mereka adalah antara ribuan umat Islam di daerah ini yang akur dengan arahan Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil supaya solat lima waktu berjemaah dan solat Jumaat di masjid serta surau ditangguhkan sejajar Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan.

Tinjauan wartawan di Masjid al-Ehsan mendapati tali pita larangan masuk dipasang di pintu utama masjid berkenaan bagi mengelak orang ramai masuk ke dalam masjid.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2020 @ 7:30 AM