GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

POLIS mendedahkan antara faktor utama kanak-kanak dan remaja dilaporkan lari dari rumah di negara ini pada 2019 disebabkan ingin bebas daripada kongkongan keluarga atau penjaga.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Asisten Komisioner Choo Lily berkata, itulah penemuan pihaknya dalam 662 kes daripada 1,302 kes kehilangan mereka dalam lingkungan usia 12 hingga 15 tahun.

“Selain keinginan mencari kebebasan, punca yang menyumbang kepada gejala lari dari rumah adalah mengikut rakan sebaya yang mencatatkan 184 kes dan masalah keluarga 170 kes.

“Ada juga yang dilaporkan hilang kerana mengikut kekasih, mengikut sama ada ibu atau bapa bagi ibu bapa yang bercerai, selain tidak minat untuk belajar serta mencari kerja pada usia yang muda,” katanya dalam satu wawancara khas bersama Bernama baru-baru ini.

Terdapat juga mangsa yang melarikan diri daripada pusat perlindungan wanita atau kanak-kanak atau dijumpai mati lemas dalam tali air atau longkang.

Jelasnya lagi, terdapat remaja yang dilaporkan hilang namun apabila ditemukan, mereka enggan pulang ke pangkuan keluarga kerana sudah selesa dengan kehidupan dan pekerjaan mereka.

Menurut statistik, daripada jumlah keseluruhan 1,302 kes yang dilaporkan, 1,186 orang sudah ditemui manakala yang lain masih berstatus hilang.

Selain itu, Choo berkata, Johor mencatatkan kes kanak-kanak dan remaja hilang tertinggi iaitu 193 orang, diikuti Selangor (189), Sabah (182) dan Sarawak (115).

Pelbagai usaha dilakukan bagi mengesan mangsa seperti membuat semakan melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau syarikat telekomunikasi kerana kemungkinan mereka untuk mendaftar dengan dua pihak ini adalah tinggi.

“Walaupun jumlah kes dicatatkan untuk mangsa yang masih hilang rendah, kami memandang serius akan perkara itu.

Sementara itu, Choo berkata, sistem National Urgent Response Alert atau NUR Alert yang dilancarkan pada 2007 dilihat berkesan dan membantu pasukannya dalam mengenal pasti mangsa yang dilaporkan hilang.

Beliau berkata, PDRM bekerjasama dengan 48 ahli lain dalam sistem NUR Alert terdiri daripada pelbagai kementerian dan pertubuhan bukan kerajaan bagi mengumpul maklumat dan mencari kanak-kanak hilang berusia bawah 12 tahun.

“Melalui siaran Nur Alert ini, dalam kebanyakan kes kita dapat mengesan mangsa dengan cepat. Orang awam boleh membuat laporan atau tampil untuk membantu mangsa dan tindakan lanjut akan diambil oleh pihak polis,” jelasnya.

Choo berkata, ibu bapa atau penjaga boleh terus melaporkan kehilangan anak mereka tanpa perlu menunggu tempoh 24 jam seperti kes kehilangan orang dewasa.

Mengulas lanjut, terdapat trend penurunan kes kehilangan yang dilaporkan daripada 2017 sehingga tahun lalu.

“Dua tahun lalu (2017), sebanyak 1,505 kes dilaporkan dan menurun kepada 1,318 kes yang dilaporkan pada 2018. Daripada jumlah kes kanak-kanak dan remaja hilang selama tiga tahun sejak 2017 iaitu sebanyak 4,125 kes, 95 peratus atau 3,948 kes sudah dijumpai dan hanya 177 atau lima peratus yang masih hilang,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2020 @ 11:58 AM