Siti Rohana Idris


SEMUA anggota tentera akan dibekalkan cecair pembasmi kuman ketika menjalankan tugasan bagi mengelakkan mereka terdedah kepada wabak Covid-19.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, berkata bagaimanapun setakat ini tiada kes wabak itu membabitkan anggota tentera termasuk yang membuat kawalan di sempadan.

“Wabak COVID-19 semakin menular dan ia berjangkit menerusi sentuhan malah kami juga sudah diberi penerangan akan langkah berjaga-jaga.

“Anggota tentera juga seperti orang awam lain yang mungkin akan ke tempat sesak dan kita harapkan semua berhati-hati dalam menjalankan tugas,” katanya.

Ikmal Hisham ditemui di kediamannya di Kampung Lubok, Tanah Merah di sini, ketika di majlis kesyukuran atas pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Pertahanan.

Terdahulu beliau juga mengadakan perjumpaan dengan kepimpinan dan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanah Merah.

Beliau mengucapkan syukur atas perlantikan jawatan itu namun mengakui tugas itu berat kerana membabitkan keselamatan negara.

Katanya lagi sebagai Ahli Parlimen Tanah Merah, beliau berjanji akan membahagikan masa dengan sebaiknya untuk negara dan rakyat Tanah Merah khususnya.

“Saya memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan jawatan dalam Kementerian Pertahanan yang umum mengetahui ia memerlukan protokol.

“Walaupun perlantikan saya dalam kementerian (Pertahanan), saya akan pastikan Tanah Merah akan tetap menjadi keutamaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2020 @ 8:16 PM