KANAK-KANAK berusia empat tahun yang ditemui orang awam di sebuah pasar raya. FOTO Ihsan Polis
KANAK-KANAK berusia empat tahun yang ditemui orang awam di sebuah pasar raya. FOTO Ihsan Polis
Mohd Khidir Zakaria


SEORANG ibu tunggal berdepan detik cemas apabila dimaklumkan anak lelakinya berusia empat tahun hilang dari rumah pengasuh di Pedas, Rembau, semalam.

Bagaimanapun, ibu tunggal berusia 28 tahun itu menarik nafas lega selepas anaknya itu ditemui orang awam di sebuah pasar raya di kawasan Industri Chembong, Rembau sebelum diserahkan ke balai polis berhampiran.

Difahamkan, kanak-kanak itu keluar tanpa pengetahuan pengasuhnya dan berjalan kaki ke pasar raya yang terletak lebih kurang satu kilometer dari rumah pengasuh terbabit.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam berkata, pihaknya menerima laporan penemuan kanak-kanak lelaki itu daripada seorang lelaki berusia 49 tahun kira-kira 3 petang di Balai Polis Chembong sebelum membuat hebahan mengenainya.

IBU tunggal mendakap anaknya selepas ditemui orang awam berkeliaran di sebuah pasar raya. FOTO Ihsan Polis
IBU tunggal mendakap anaknya selepas ditemui orang awam berkeliaran di sebuah pasar raya. FOTO Ihsan Polis

“Kebetulan, adik ipar kepada ibu kandung kanak-kanak itu yang bertugas sebagai polis di Hutan Melintang, Perak menerima maklumat mengenai penemuan berkenaan lalu menghubungi wanita itu melalui kumpulan WhatsApp keluarganya.

“Ibu kanak-kanak lelaki itu hadir ke Balai Polis Chembong pada 4.10 petang pada hari kejadian dan mengesahkan anaknya itu melalui Mykid,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Anuar Bakri berkata, hasil siasatan awal, ibu tunggal itu mengakui menghantar anaknya ke rumah pengasuh berusia lingkungan 40 tahun di Kampung Chembong Air Hitam, Pedas, pada 7.30 pagi.

“Ibu kanak-kanak itu menghantar anaknya ke situ setiap Isnin hingga sabtu, dari 7.30 pagi hingga 8 malam dan membayar pengasuh berkenaan RM350 sebulan sejak September lalu.

“Wanita itu turut memberitahu, kejadian seperti ini tidak pernah berlaku dan mendakwa pengasuh itu menjaga anaknya dengan baik,” katanya.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan berhubung kehilangan kanak-kanak itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak kanak 2001.

Terdahulu, penemuan kanak-kanak itu bersendirian di pasar raya terbabit turut tular di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2020 @ 1:26 PM