Essa Abu Yamin


SUAMI isteri disyaki terbabit dalam kejadian dera sehingga menyebabkan seorang daripada anak asuhan mereka meninggal dunia, semalam direman tujuh hari bermula hari ini di Mahkamah Majistret Batu Pahat.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nurul ‘Izzati Mohamad bagi membolehkan siasatan lanjut kes berkenaan.

Terdahulu, pengasuh terbabit dan suaminya tiba ke pekarangan mahkamah pada 8.20 pagi, namun menyembunyikan wajah kerana tidak selesa dengan kehadiran media.

Harian Metro semalam melaporkan, kanak-kanak perempuan berusia empat tahun meninggal dunia di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat, pada 7.15 pagi semalam, dipercayai didera pengasuhnya.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, susulan kejadian itu, wanita berusia 33 tahun yang juga pengasuh kepada kanak-kanak bersama suaminya berusia 41 tahun ditahan.

SUAMI isteri direman tujuh hari di Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini selepas dipercayai terbabit dalam kes kematian seorang kanak-kanak berusia empat tahun. FOTO ESSA ABU YAMIN
SUAMI isteri direman tujuh hari di Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini selepas dipercayai terbabit dalam kes kematian seorang kanak-kanak berusia empat tahun. FOTO ESSA ABU YAMIN

“Hasil siasatan awal, selain penderaan terhadap kanak-kanak perempuan itu, abang mangsa berusia enam tahun dipercayai turut didera berdasarkan kesan lebam pada badannya.

“Polis berjaya menyelamatkan abang mangsa dan kini mendapatkan rawatan di HSNI. Pemeriksaan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 31(1), Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mendera.

Difahamkan, ibu kepada dua kanak-kanak berkenaan yang juga ibu tunggal menyerahkan anaknya kepada pengasuh terbabit untuk dijaga kerana bekerja.

Berita berkaitan

'Kanak-kanak maut didera pengasuh'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 11:19 AM