Kelas mengaji al-Quran di kediaman Azmeer di Tongkang Yard, Alor Setar sudah bermula hari ini. Foto Ihsan Azmeer Yusof
Kelas mengaji al-Quran di kediaman Azmeer di Tongkang Yard, Alor Setar sudah bermula hari ini. Foto Ihsan Azmeer Yusof
Sri Ayu Kartika Amri

“SEMUA yang saya lakukan ini adalah sebagai ‘bekalan’ saya di akhirat nanti,” kata pemain bola sepak Kedah, Azmeer Yusof, 30, yang menjadikan rumahnya di Tongkang Yard, Alor Setar sebagai tempat untuk mempelajari al-Quran secara percuma.

Azmeer yang berkongsi hasratnya melalui akaun Facebook (FB) miliknya, mengajak golongan lelaki berusia bawah 40 tahun yang mahu belajar mengaji bersama.

Menurutnya, sejak menaikkan status di FB itu kelmarin, dia menerima mesej daripada lebih 100 orang yang berminat untuk turut sama mengaji.

“Saya memang sudah lama menyimpan niat ini dan syukur apabila keluarga memberi sokongan.

“Saya akui pada zaman ini untuk membaca satu muka surat al-Quran sehari memang sukar dilakukan termasuk saya juga.

“Jadi, saya terpanggil untuk memulakannya dan mempelawa orang ramai ke rumah saya yang mana buat masa ini ada seorang ustaz mengajar,” katanya ketika dihubungi.

Selain golongan lelaki, Azmeer turut mendapat permintaan daripada wanita.

“Ada juga ustazah yang menghubungi saya dan bersedia untuk mengajar. Saya akan usahakan supaya lebih ramai dapat mengaji.

“Setakat ini, purata yang datang ke rumah setiap hari (bermula 9 hingga 11 pagi) untuk mengaji antara 15 ke 20 orang dan saya juga akan menambah tenaga pengajar (ustaz) jika perlu.

“Insya-Allah, selepas selesai kelas mengaji ini, saya bercadang menyediakan barang keperluan asas seperti beras, gula dan sebagainya di rumah saya ini yang terbuka untuk mereka memerlukan secara percuma,” katanya.

Menurutnya, dia mahu membuktikan persepsi kebanyakan orang terhadap pemain bola sepak yang selalunya dipandang serong adalah salah.

“Selalunya, orang beranggapan pemain bola sepak ini tak baik, ‘kaki perempuan’ dan banyak lagi anggapan negatif, namun dengan usaha ini saya harap dapat membuka mata semua.

“Paling penting tujuan utama saya adalah untuk bekalan di kemudian hari kerana pada usia sekarang saya miliki semuanya, Allah beri saya rezeki dan kesenangan.

“Saya selalu menganggap kesenangan ini adalah ujian Allah untuk saya dan apa yang perlu saya buat untuk membalas semula rezeki yang Allah bagi,” katanya.

Semalam, dilaporkan Azmeer memuat naik status menjadikan rumahnya sebagai lokasi belajar mengaji dan dia menawarkan kepada sesiapa yang berminat boleh menghubunginya.

Berita berkaitan

Mulianya hati Azmeer

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2020 @ 8:57 PM