GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Juwan Riduan


SUAMI isteri disyaki pengedar dadah antara 57 individu yang ditahan dalam Ops Mega di Kota Kinabalu yang dijalankan bermula 29 Februari hingga kelmarin.

Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dilakukan di tiga lokasi iaitu di Sinsuran, Kampung Cenderamata dan Kampung Air.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, hasil operasi itu, polis menahan seramai 57 individu termasuk pasangan suami isteri berusia 24 dan 27 tahun bersama 24.10 gram dadah jenis syabu.

“Siasatan juga mendapati pasangan itu mengedar dan menjual dadah di kawasan pekan Inanam. Pasangan terbabit juga tidak mempunyai pekerjaan dan dokumen pengenalan diri.

“Pasangan terbabit bersama seorang lagi individu disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Habibi berkata, seramai 15 individu lagi disiasat mengikut Seksyen 12(2) ADB 1953 manakala 39 individu ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 kerana hasil ujian air kencing didapati positif dadah.

“Daripada 57 individu berusia 17 hingga 44 tahun itu, seramai 45 daripadanya adalah warga tempatan manakala selebihnya warga asing.

“Sepanjang tempoh operasi itu, polis merampas sebanyak 26.33 gram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM3,949 berdasarkan harga dadah semasa,” katanya.

Sementara itu, Habibi berkata, operasi dan serbuan yang dijalankan adalah usaha Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Kinabalu dalam memantau, mengesan dan mengekang segala aktiviti penagihan dan pengedaran dadah di kawasan daerah ini.

“Usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penagihan dadah di lokasi dikenal pasti akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

“Sehubungan itu, polis menyeru orang ramai membantu menyalurkan maklumat jenayah dadah menerusi Hotline IPD Kota Kinabalu di talian 088-529220, 088-529211 atau WhatsApp ke talian 019-2182729,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2020 @ 4:06 PM