GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Juwan Riduan


SERAMAI 49 individu termasuk seorang remaja lelaki berusia 13 tahun ditahan dalam Ops Ice Breaker sejak 4 Januari lalu hingga kelmarin.

Tangkapan digerakkan oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, semua suspek berusia antara 13 hingga 55 tahun itu ditahan dalam 17 serbuan di beberapa lokasi di daerah itu.

"Daripada 49 yang ditahan itu, 37 individu adalah warga tempatan, manakala selebihnya warga asing.

"Selain itu juga, tiga individu disiasat mengikut Seksyen 39A(1), Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, lapan disiasat mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952, seorang disiasat mengikut Seksyen 6, ADB 1952 dan 37 individu disiasat mengikut Seksyen 15(1)(A), akta sama," katanya dalam kenyataan media, semalam.

Habibi berkata, jumlah keseluruhan rampasan dadah dalam itu sebanyak 30.95 gram dadah jenis syabu dan 2.21 gram ganja.

"Nilai keseluruhan rampasan dadah syabu dan ganja RM4,686 mengikut harga pasaran dadah semasa.

"Usaha membanteras pengedaran dan penagihan dadah di sekitar daerah ini sentiasa diperhebatkan dari semasa ke sesama bagi kesejahteraan dan ketenteraman awam," katanya.

Sementara itu, bagi mempertingkatkan lagi pembenterasan jenayah dadah, Habibi meminta orang ramai menyalurkan maklumat ke Hotline IPD Kota Kinabalu di talian 088-529220.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 January 2020 @ 3:02 PM