PONDOK kecil tempat Patrcik Igih Mohd Taufik, ditinggalkan oleh bapa dan datuknya di kawasan ladang kelapa sawit di Rapak Baru, Pantu, Sri Aman, semalam. FOTO IHSAN PEMBACA
PONDOK kecil tempat Patrcik Igih Mohd Taufik, ditinggalkan oleh bapa dan datuknya di kawasan ladang kelapa sawit di Rapak Baru, Pantu, Sri Aman, semalam. FOTO IHSAN PEMBACA
Mohd Roji Kawi


OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak tiga tahun, Patrick Igih yang hilang di ladang kelapa sawit Rapak Baru di Pantu, Sri Aman, sejak tiga hari lalu semakin tipis selepas tiada sebarang petanda ditemui sehingga kini.

Berikutan itu, operasi SAR yang masuk hari ketiga hari ini terpaksa ditangguhkan pada jam 6 petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, berdasarkan laporan pasukan SAR, tiada sebarang jejak kanak-kanak ditemui di dalam kawasan pencarian.

“Operasi SAR akan disambung semula pagi esok,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Lebih 80 orang terbabit dalam operasi berkenaan termasuk bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM.

Difahamkan, Patrcik mengikut datuk dan bapanya yang mengiringi kaki tangan Sarawak Forestry Corporation (SFC) melakukan kerja pemasangan papan tanda pada pokok di dalam hutan bersebelahan ladang kelapa sawit itu.

Berikutan laluan pendakian menuju ke tempat pemasangan papan tanda itu agak tinggi, kanak-kanak itu ditinggalkan di sebuah pondok kecil dengan hanya berbekalkan sebotol susu, kira-kira jam 9.30 pagi, Rabu lalu.

Selepas menghantar satu papan tanda ke lokasi pemasangan di atas bukit yang jaraknya kira-kira satu kilometer dari pondok tempat kanak-kanak itu ditinggalkan, datuknya kembali semula untuk mengambil satu lagi papan tanda.

Ketika itu datuknya menyedari kanak-kanak itu tiada lagi di pondok berkenaan beberapa saksi mendakwa ternampak kanak-kanak itu berjalan sendirian ke tempat motosikal bapanya diletakkan.

Laporan polis berhubung kehilangan kanak-kanak itu kemudiannya dibuat ahli keluarganya dan bomba menerima maklumat itu pada jam 2.33 petang sebelum gerakan SAR diaktifkan.

  • Pencarian budak hilang di ladang sawit buntu
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 7:36 PM