TENGKU Zulpuri.
TENGKU Zulpuri.
Yusmizal Dolah Aling

AHLI Parlimen Raub Tengku Zulpuri Shah Raja Puji tetap dengan pendiriannya bersama Pakatan Harapan (PH) dan DAP walaupun parti itu menjadi pembangkang.

Katanya, dia akan menumpukan kepada tanggungjawabnya sebagai ahli Parlimen dan menjalankan tugas secara sepenuh masa selepas ini.

Bekas Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli itu berkata, beliau sebenarnya tidak mahu memberikan sebarang komen, namun pendiriannya kekal bersama PH dan DAP.

“Insya-Allah saya akan lebih tumpu kepada parlimen Raub dan menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen Raub sepenuh masa.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam sama ada di pusat atau negeri kerana memberi kerjasama secara profesional,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Isnin lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan (Adun) Batu Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, beliau bertindak menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional demi orang Melayu.

Dalam sidang media di Melaka, beliau turut mendedahkan dirinya menjadi barua parti saja walaupun sudah bekerja keras demi kepentingan orang Melayu di negeri itu.

Perkembangan itu mengundang pelbagai reaksi netizen yang ingin mengetahui bagaimana pendirian wakil rakyat Melayu di dalam DAP yang lain termasuklah Adun Ketari, Pahang Young Syefura Othman dan Adun Seri Delima, Pulau Pinang Syerleena Abdul Rashid.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 6:19 PM