Ruwaida Md Zain

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor mengumumkan mengeluarkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkuatkuasa serta merta.

Keputusan yang dibuat PH Selangor itu mengambil kira dinamik politik yang berlaku di peringkat Persekutuan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, PH menjunjung tinggi titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu agar kestabilan dan perpaduan di negeri ini dikekalkan untuk terus memberikan khidmat yang terbaik untuk rakyat Selangor.

"PKR, DAP dan PAN bersepakat meneruskan mandat besar yang diterima oleh rakyat pada pilihan raya umum lalu meneruskan sokongan penuh kepada kepimpinan saya selaku Menteri Besar.

"Pimpinan tinggi PH memaklumkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa pentadbiran Negeri Selangor tidak lagi dianggotai BERSATU dan secara automatik bukan lagi dalam gabungan Kerajaan Negeri Selangor dan akan dikeluarkan secara berperingkat mulai hari ini.

"Pembabitan semua pimpinan dan ahli BERSATU adalah terkeluar daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Pihak Berkuasa Tempatan, Majlis Permuafakatan Ketua Kampung (MPKK), anak-anak syarikat kerajaan negeri serta seluruh rangkaiannya yang berkaitan sesuai dengan keadaan politik semasa," katanya dalam sidang media PH di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, di Shah Alam, hari ini.

Amirudin berkata, kerajaan negeri turut akan membekukan peruntukan terhadap lima ADUN BERSATU dan dua ADUN Bebas.

"Pada masa sama, kita juga membekukan semua peruntukan yang terbabit dengan mereka termasuk dua ADUN Bebas yang dipecat oleh parti.

"Jadi, PH Selangor sekarang ada 43 perwakilan.

"Kedudukan kerusi di Dewan Undangan Negeri juga berubah di mana ADUN BERSATU dan Bebas akan diletakkan di blok pembangkang dalam sidang dewan 16 Mac depan," katanya.

Ini menjadikan kedudukan kerusi di Selangor terdiri daripada PKR (19), DAP (16), Amanah (8), sementara Perikatan Nasional yang terdiri daripada UMNO (5), PAS (1), BERSATU (5) Bebas (2).

Ketika ditanya siapa akan menjawat jawatan Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan yang dimiliki Pengerusi BERSATU Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari sebelum ini, katanya ia akan ditentukan kemudian.

"Saya akan kemukakan calon kepada Tuanku. Setakat ini kita kekalkan sembilan orang Exco sedia ada," katanya.

Sementara itu, beliau turut diminta mengulas mengenai pandangan sesetengah pihak yang melihat beliau masih berpihak kepada bekas Timbalan Presiden PKR yang dipecat, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Amirudin berkata, beliau hanya mengikut Mohamed Azmin ketika individu berkenaan berada dalam PKR.

"Saya hanya bersama beliau ketika beliau dalam PKR, tidak sertai beliau menjadi Bebas, atau dipecat. Saya akan bersama PKR sebab saya janji dan kempen saya dalam pilihan raya dulu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 4:31 PM
    AMIRUDIN (duduk, tengah) bersama pemimpin pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor. FOTO Faiz Anuar
    AMIRUDIN (duduk, tengah) bersama pemimpin pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor. FOTO Faiz Anuar