Pegawai MAQIS menunjukkan produk berasaskan babi dirampas mereka. FOTO Ihsan MAQIS
Pegawai MAQIS menunjukkan produk berasaskan babi dirampas mereka. FOTO Ihsan MAQIS
Murnaena Muhammad Nasir

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) berjaya mematahkan cubaan seorang warga Korea yang cuba membawa masuk produk daging babi di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2), di Sepang.

Produk daging babi seberat 20 kilogram itu dirampas dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ketika pemeriksaan rutin, 4 pagi tadi.

Pengarah MAQIS Selangor Dr Tarmisal Alimin berkata, pihaknya melarang pengimportan daging berkenaan bagi menghalang risiko kemasukan wabak penyakit African Swine Fever (ASF).

“Ia dibawa masuk seorang warga korea yang tidak mempunyai permit import dan sijil kesihatan negara asal.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3), Akta yang sama,” katanya dalam kenyataan.

Dr Tarmisal berkata, jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

“Ia juga bertujuan memastikan makanan yang masuk ke Malaysia mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2020 @ 4:17 PM