AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis. FOTO Rasul Azli Samad
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis. FOTO Rasul Azli Samad
Hassan Omar


AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis perlu membayar RM10 juta kepada PKR kerana keluar daripada parti itu walaupun setakat ini, belum ada perisytiharan rasmi oleh Muhammad Jailani yang beliau sudah berbuat demikian.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka Datuk Halim Bachik berkata, bayaran itu berdasarkan perjanjian antara semua ADUN dan Ahli Parlimen PKR ketika mereka dipilih sebagai calon mewakili parti itu dalam Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mei 2018.

Katanya, kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan Muhammad Jailani berdepan dengan tindakan undang-undang yang bakal diambil oleh PKR Pusat.

Halim menegaskan, walaupun setakat ini Muhammad Jailani belum membuat perisytiharan rasmi keluar PKR, beliau secara peribadi menyifatkan tindakan Muhammad Jailani menyokong Perikatan Nasional (BN) sebagai isyarat jelas sudah berbuat demikian.

Beliau berkata, PKR Pusat setakat ini tidak memecat ADUN terbabit, selain belum memanggilnya untuk memberi penjelasan berhubung tindakannya menyokong PN semalam.

“Semua ADUN dan Ahli Parlimen PKR diwajibkan membayar RM10 juta kalau keluar parti tetapi jika mereka dipecat, tidak perlu bayar,” katanya pada sidang media bersama Pengerusi PH Adly Zahari, di Ibu Pejabat AMANAH di Bukit Katil di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi DAP negeri Datuk Tey Kok Kiew.

Kelmarin, Muhammad Jailani dan ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dilaporkan hadir pada sidang media Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka Datuk Ab Rauf Yusoh mengenai keyakinan Barisan Nasional (BN) negeri yang dianggotai UMNO, BERSATU dan PAS untuk membentuk kerajaan negeri baru menggantikan PH.

Sementara itu, Kok Kiew berkata, Norhizam sengaja mendakwa dirinya menjadi barua ketika berkhidmat dalam PH untuk kononnya membuktikan kepada orang Melayu beliau amat prihatin terhadap nasib masyarakat Melayu.

“Saya sendiri kalau tidak berjaya buat apa apa untuk rakyat, saya salahkan diri sendiri dan bukannya orang lain,” katanya.

Sehubungan itu, DAP Pusat akan mengambil tindakan terhadap Norhizam kerana didakwa sanggup mengetepikan perjuangan PH dan setia kawan dalam pakatan berkenaan semata-mata kerana merebut jawatan dalam PN.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 3:54 PM