Status FB yang disiasat USJT Bukit Aman. FOTO PDRM
Status FB yang disiasat USJT Bukit Aman. FOTO PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


UNIT Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman menjalankan siasatan terhadap satu kenyataan dimuat naik pemilik akaun Facebook ‘Sharifah Sofia Syed Rashid III’ berkaitan penyerahan jawatan Perdana Menteri Malaysia, kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, status itu turut dikongsi pemilik akaun Facebook ‘Zali Zakri’, ‘Kunak Sabah Balacan’, dan ‘Malek Hj Lahab’.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam atau kepada mana-mana golongan awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

“Siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengesan semua suspek yang terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Huzir berkata, pihaknya menggesa orang ramai supaya tidak membuat, menerbitkan atau mengedarkan apa-apa kenyataan, khabar angin dan berita yang boleh menyebabkan kegentaran pada orang awam bagi menjamin kesejahteraan serta keharmonian masyarakat.

“Semua pihak juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang tindakan menyalahi undang-undang, mengeluarkan apa-apa kenyataan atau memuat naik sebarang artikel yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam serta mendatangkan kebencian kepada mana-mana pihak.

“Kami tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas bagi mengheret pesalah ke muka pengadilan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Februari 2020 @ 1:18 PM