DR Sivamurugan. FOTO Khairull Azry Bidin
DR Sivamurugan. FOTO Khairull Azry Bidin
Wartawan NSTP

FOKUS perkembangan politik negara kini tertumpu kepada siapa yang bakal dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8 susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad, kelmarin.

Antara nama disebut bagi menyandang kerusi pemimpin nombor satu politik itu Dr Mahathir sendiri yang menjawat Perdana Menteri Interim.

Selain itu, nama dua bekas Timbalan Perdana Menteri ketika Barisan Nasional (BN) di tampuk kuasa iaitu Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut menjadi buah mulut bakal menjadi Perdana Menteri ialah Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang juga pemimpin veteran Umno lebih dikenali sebagai Ku Li.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, sebelum krisis pentadbiran bermula Dr Mahathir tidak berhadapan dengan kerajaan yang hilang kepercayaan terhadapnya.

“Sebab itu tiada pembubaran Parlimen. Apa yang berlaku hanyalah runtuhnya kerajaan disebabkan keluarnya Bersatu dan 11 Ahli Parlimen PKR.

“Ketika krisis ini berlaku Dr Mahathir masih ada sokongan padu, malah selepas itu masing-masing mengukuhkan lagi sokongan kepadanya

“Saya rasa dalam keadaan sekarang seolah-olah Dr Mahathir mempunyai sokongan yang lebih berbanding sebelum krisis hingga boleh mencapai dua pertiga sokongan Ahli Parlimen,” katanya.

Namun jika negarawan berusia 94 tahun itu enggan kembali sebagai Perdana Menteri, katanya, pilihan ada seperti Anwar, Muhyiddin atau Ku Li perlu kembali kepada persoalan asas siapakah yang mampu meyakinkan Agong mereka ada sokongan dan kepercayaan majoriti di Parlimen.

Beliau berpandangan walaupun Anwar sudah berjumpa Agong, kelmarin namun kemungkinan pemimpin itu belum mempunyai angka yang dikehendaki.

“Bagi Muhyiddin pula, jika kolaborasi baharu yang diuar-uarkan adalah tulen maka dia mempunyai kelebihan. Tetapi, kita tidak boleh menolak kedudukan Ku Li jika itu juga antara pilihan parti Umno dikemukakan kepada Agong.

“Namun, buat masa ini saya rasakan Dr Mahathir berkelebihan berbanding lain. Muhyiddin adakah mendapat sokongan Muafakat Nasional? Bagi saya sebagai Presiden Bersatu, beliau diletakkan sebagai calon dominan.

“Malah, mungkin kita akan melihat nanti Bersatu semakin besar jumlah ahlinya selepas ini yang akan mengukuhkan kedudukan Bersatu dalam kolaborasi baharu parti politik,” katanya sambil menegaskan calon sesuai untuk meredakan bahang pergolakan politik semasa, tetap Dr Mahathir.

Mengenai Ku Li, katanya, Ahli Parlimen paling lama menabur khidmat itu berpengalaman dalam politik, malah dalam sektor ekonomi termasuk mengasaskan Petronas.

“Tetapi, disebabkan sudah lama tiada dalam arus perdana politik kepemimpinan atasan, sekiranya Ku Li buat comeback pun bergantung kepada pihak istana.

“Dalam Umno pun beliau tewas ketika pemilihan presiden parti itu yang lalu. Berkemungkinan diambil kira, cuma dari segi senioriti atau pemikiran yang mampu mentadbir urus, beliau ada pakej itu.

“Beliau mempunyai pengalaman seperti Dr Mahathir. Mereka datang pada era sama, jadi kalau dirasakan nak digunakan pengalamannya mungkin bersesuaian,” katanya.

Bagi penganalisis politik Professor Madya Mohd Hanafiah Harun, masyarakat umumnya belum nampak calon lain lebih sesuai mengatur semula pentadbiran politik negara selain Dr Mahathir.

Beliau berkata, hakikat yang orang ramai tidak mahu ialah kerajaan dikuasai pihak tertentu yang mementingkan tembolok kelompoknya berbanding sepatutnya kekayaan negara dikongsi secara adil untuk kehidupan harmoni.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 7:50 AM