GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rafiqah Dahali

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan membina 50 menara telekomunikasi di Sabah, bermula tahun ini.

Pengarah SKMM Sabah dan Labuan, Roslan Mohamad berkata, ia sebahagian projek Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) fasa satu.

“50 menara terbabit akan dibina bermula tahun ini dan semua menara telekomunikasi terbabit dijangka bakal beroperasi pada awal tahun hadapan dan adalah tambahan untuk 516 menara di bawah inisiatif dana USP SKMM.

“Projek NFCP fasa satu adalah satu inisiatif berasaskan infrastruktur bertujuan meningkatkan sambungan digital secara meluas, berkualiti tinggi dan mampu milik.

“Projek ini adalah usaha dalam menyediakan perkhidmatan 3G dan 4G untuk masyarakat yang tinggal di kawasan dengan mempunyai rangkaian hubungan dan liputan terhad khususnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program SKMM bersama media di Kota Kinabalu, semalam.

Turut hadir, Ketua Bahagian Komunikasi Strategik, Shirley Tan Shuo Ling.

Roslan turut memaklumkan bahawa Sabah adalah negeri terbanyak yang memperoleh jumlah menara bagi projek terbabit.

“Sabah antara negeri yang mendapat jumlah menara paling banyak untuk projek NFCP fasa satu iaitu 50 atau 33 peratus daripada 152 menara yang dipasang seluruh Malaysia.

“Di seluruh negara, 152 menara telekomunikasi yang dibina di seluruh negara bagi projek NFCP 1 merangkumi lapan negeri iaitu Sabah, Pahang, Kelantan, JohorTerengganu, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.

“NFCP 1 akan meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan jalur lebar dengan menyediakan kelajuan purata 30Mbps,” katanya.

Beliau turut tidak ketinggalan memberitahu media bahawa pihaknya turut berdepan dengan beberapa cabaran untuk membina menara telekomunikasi terbabit di Sabah.

“Antara cabaran untuk membina menara projek terbabit di Sabah adalah kawasannya yang luas dan struktur geografi di sini di mana ia agak mencabar untuk membina menara dengan struktur tapak sedemikian.

“Selain itu, sesetengah kawasan mempunyai penduduk yang tidak tinggal secara berkelompok dan kurang fasiliti di mana ia turut menyukarkan pihak kami untuk membuat penyelenggaraan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 2:29 PM