KEADAAN kenderaan yang terbabit kemalangan di Lebuhraya LEKAS. FOTO Ihsan Pembaca.
KEADAAN kenderaan yang terbabit kemalangan di Lebuhraya LEKAS. FOTO Ihsan Pembaca.
Mohd Amin Jalil.


LELAKI maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer (KM) 17.5 Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) berdekatan susur keluar Plaza Tol Pajam menghala ke Seremban, awal pagi hari ini.

Mangsa, Abdul Salam Saad, 34, dari Felda Keratong 5, Bandar Tun Abdul Razak, Pahang, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, kemalangan pada 3.20 pagi itu membabitkan dua kereta dan tiga motosikal.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati Abdul Salam dalam perjalanan dari susur keluar Plaza Tol Pajam menghala ke Seremban.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, sebuah Ford Fiesta yang dipandu Nicholas Daniel Raj, 30, dari arah Kajang di lebuh raya itu dipercayai cuba melawan arus untuk masuk ke jalan susur keluar Tol Pajam.

“Tindakan itu, menyebabkan berlaku pelanggaran antara Proton Persona dipandu Abdul Salam dengan tiga motosikal,” katanya hari ini.

KEADAAN kenderaan yang terbabit kemalangan di Lebuhraya LEKAS. FOTO Ihsan Pembaca.
KEADAAN kenderaan yang terbabit kemalangan di Lebuhraya LEKAS. FOTO Ihsan Pembaca.

Mohd Nor berkata, akibat pelanggaran itu, Abdul Salam parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, penunggang motosikal iaitu Mohamad Arif Mohd Asri, 21, dan pembonceng, Shahrul Nizam Suhaimi, 16, serta Herry Herman Hakimy, 17, dan Muhammad Mefdzal Mohd Rosman, 17, turut cedera dan sedang dirawat di zon kuning di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJ).

“Sementara Nicholas parah dan sedang dirawat di zon merah unit kecemasan hospital sama,” katanya.

Beliau berkata, mayat Abdul Salam dibawa ke Unit Forensik HTJ untuk dibedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Februari 2020 @ 9:41 AM