Antara penagih yang ditahan AADK di Batu 9, Jalan Changkat Jong dekat Teluk Intan. FOTO Ihsan AADK.
Antara penagih yang ditahan AADK di Batu 9, Jalan Changkat Jong dekat Teluk Intan. FOTO Ihsan AADK.
Oleh Noor Hidayah Tanzizi


DUA beradik antara sembilan individu ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selepas didapati positif dadah.

Mereka ditahan dalam sekatan jalan raya sempena operasi bersepadu yang diadakan bersama polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar di Batu 9, Jalan Changkat Jong dekat Teluk Intan semalam.

Ketika ditahan, kedua-duanya berusia 20-an bersama ibu bapa dan dalam perjalanan ke Penjara Tapah untuk melawat seorang lagi adik-beradik mereka.

Ketua Pegawai AADK Hilir Perak, Najmiah Hanafi berkata, ibu bapa dua beradik itu terkedu namun, akur anak mereka ditahan kerana mengetahui pembabitan anak mereka dengan dadah.

“Dua beradik itu didapati positif Methamphetamine dan tiada rampasan dadah atau barangan terlarang yang dirampas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Najmiah berkata, semua lelaki yang ditahan berusia antara 20 hingga 40 tahun dan masing-masing positif Methamphetamine dan Tetrahydrocannabinol (THC).

Katanya, individu berkenaan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (APD) 1983.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 5:56 PM