GAMBAR Hiasan. FOTO AFP
GAMBAR Hiasan. FOTO AFP
BERNAMA

SABAH mewujudkan Tabung Wuhan China sebagai tanda prihatin terhadap negara itu yang berhadapan wabak koronavirus baharu 2019 (2019-nCoV).

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kerajaan negeri mensasarkan kutipan RM1 juta untuk disalurkan kepada China.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan aplikasi e-dompet ‘Sabah Pay’ di Kota Kinabalu, hari ini, Mohd Shafie berkata, beliau menyatakan keprihatinan kerajaan negeri kepada Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu, Liang Caide pada pertemuan mereka semalam.

Mengenai sektor pelancongan di Sabah berikutan langkah kerajaan negeri menggantung sementara kedatangan pelancong China, beliau berkata, beberapa langkah lain diambil bagi meningkatkan kehadiran pelancongan negara lain seperti Korea, Jepun dan Eropah.

Mohd Shafie berkata, tumpuan juga diberi untuk menarik lebih ramai pelancong domestik datang ke negeri itu seperti dari Semenanjung dan Sarawak serta dari negara jiran seperti Brunei, Filipina, Indonesia dan Thailand.

Sementara itu Di Tawau, Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata, pengumpulan dana sejak semalam itu dijalankan dengan kerjasama badan bukan kerajaan di Kota Kinabalu, termasuk kutipan melalui majlis makan malam yang akan diadakan pada 18 Februari.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) negeri berkata pihaknya mensasarkan kutipan dana RM1 juta itu dalam tempoh seminggu bagi.

“Langkah yang diambil kerajaan negeri ini sebagai tanda prihatin kami (Sabah) yang selama ini menikmati hubungan baik dengan China melalui Pejabat Konsulat di Kota Kinabalu, dalam keadaan kesusahan ketika ini. Kami memanjangkan sokongan terhadap semua mangsa dan berdoa agar virus akan lenyap tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan bantuan persekolahan kepada murid Sekolah Kebangsaan Batu 4 Apas di Tawau, hari ini.

Sementara itu, Liew berkata setakat semalam, 97 rakyat China yang terkandas di Sabah telah mendapatkan cop lanjutan visa pelancong selama seminggu.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Februari 2020 @ 6:22 PM