JENAZAH juruhebah Radio Malaysia Kedahfm, Mohd Rizal Ismail dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Solihin di Taman Kelisa, di sini hari ini. FOTO NOR FARHANI CHE AD
JENAZAH juruhebah Radio Malaysia Kedahfm, Mohd Rizal Ismail dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Solihin di Taman Kelisa, di sini hari ini. FOTO NOR FARHANI CHE AD
Nor Farhani Che Ad


JURUHEBAH Radio Malaysia Kedahfm, Allahyarham Mohd Rizal Ismail, 36, disifatkan sebagai seorang perahsia terutama membabitkan masalah kesihatan.

Ibunya, Hasnah Mohamad, 66, berkata arwah diketahui menghidap penyakit darah tinggi sejak berusia awal 20-an, namun jarang menunjukkan kesakitan yang ditanggungnya.

“Saya pernah menemaninya ke hospital ketika dia mengalami sakit kepala yang serius, namun dia meminta jangan risau dengan keadaan kesihatannya.

“Setiap kali saya tanya tentang kesihatan dia, arwah akan kata dia sihat kerana dia selalu bersukan,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Solihin di Taman Kelisa, Sungai Petani, hari ini.

Jenazah dikebumikan di tanah perkuburan itu kira-kira 7.05 malam tadi.

Terdahulu, jenazah tiba di Masjid Al-Abrar, Taman Peruda pada 5.40 petang dan disolatkan di masjid berkenaan sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Menurutnya, anak bongsu daripada empat beradik itu menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada 1.26 tengah hari tadi selepas menerima rawatan sejak Selasa lalu akibat masalah darah tinggi.

Katanya, arwah dikatakan hampir terjatuh ketika sedang berbual di atas motosikal di tempat kerjanya sebelum dibawa ke hospital berkenaan.

“Rakan-rakannya sempat menyambutnya lalu dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Dia juga dalam keadaan separuh sedar ketika menerima rawatan sehinggalah arwah menghembuskan nafas terakhir tengah hari tadi,” katanya.

Allahyarham yang berkhidmat sebagai juruhebah di Radio Malaysia Kedahfm pada 2006 meninggalkan seorang balu, Nor Hafizah Ghafar, 36, dan seorang anak perempuan, Qays Danisya, 4.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Februari 2020 @ 8:50 PM