Jasin: Wartawan sambilan Harian Metro Biro Melaka Mohd Norfaisal Jahuri meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka, di sini, pagi semalam, selepas empat hari koma akibat pendarahan dalam kepala.

Mohd Norfaisal, 38, mula berkhidmat sebagai wartawan sambilan bersama Harian Metro pada 2001 selepas meninggalkan akhbar The Sun.

Allahyarham meninggalkan balu, Siti Rubiah Abu Siran, 40, yang bertugas sebagai juruhebah di stesen Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) Melaka dan seorang anak, Muhammad Rayyan Haziq, 4.

Jenazah dibawa ke rumah keluarga isterinya di Kampung Paya Tanjung, Bukit Durian, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Tanjung, pada jam 1 tengah hari semalam.

Lebih 200 orang terdiri daripada ahli keluarga, waris, kenalan dan pengamal media hadir.

Siti Rubiah berkata, Allahyarham tidak sedarkan diri pada jam 6 pagi Khamis lalu dipercayai akibat serangan angin ahmar sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka.

“Doktor memberitahu ada pendarahan dalam kepala dan arwah perlu segera dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan khidmat pakar di sana.

“Bagaimanapun, arwah tidak menunjukkan sebarang tindak balas terhadap ubat dan HKL memindahkan semula ke Melaka. Sejak itu arwah koma sehinggalah disahkan meninggal dunia pagi tadi (semalam),” katanya.

Sementara itu, adik bongsu Allahyarham, Siti Nur’alia Jahuri, 29, berkata, kali terakhir dia menemui abangnya ketika berkumpul di rumah keluarga di Cheng pada cuti Aidiladha lalu.

“Arwah gemar mengusik dan bergurau dengan kami setiap kali berjumpa.

“Dia juga boleh dikatakan mahir dalam pelbagai perkara seperti membaiki kenderaan mahupun gajet,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2016 @ 5:05 AM