KAKITANGAN CTRM Melaka bergotong-royong membersihkan kolah masjid An Nur Peringgit. FOTO Nazri Abu Bakar
KAKITANGAN CTRM Melaka bergotong-royong membersihkan kolah masjid An Nur Peringgit. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar

WALAUPUN masalah air berlaku di Melaka dan catuan berjadual bakal memasuki Fasa II, pengurusan masjid Kampung An-Nur Peringgit tidak menghadapi kesukaran untuk menyediakan kemudahan air kepada jemaahnya.

Malah hari ini mereka turut menganjurkan pembersihan kolah air untuk kegunaan mengambil air sembahayang serta kerja mengecat masjid.

Pengerusi Masjid, Mohd Tsabit Abu Bakar berkata, program gotong-royong dengan kerjasama syarikat CTRM Aero Composites (CTRM) berkenaan membabitkan hampir 100 peserta termasuk 60 kakitangan agensi swasta berkenaan.

Katanya, kerja termasuk membersihkan bahagian dalam dan luaran bangunan tidak terjejas dengan program catuan ketika ini.

“Masjid ini mempunyai dua tangki air khas yang menjadi kegunaan ketika catuan mahupun musim kemarau.

“Setakat ini ianya mampu menampung keperluan jemaah termasuk untuk solat Jumaat, aktiviti keagamaan dan kelas fardu ain membabitkan pelajar sekolah setiap minggu,” katanya.

Beliau berkata, sebagai alternatif jangka panjang, pengurusan juga memohon tambahan satu tangki statik daripada Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Februari 2020 @ 12:56 PM