KEADAAN lori tunda yang remuk teruk akibat kemalangan yang berlaku di Presint 10 semalam.
KEADAAN lori tunda yang remuk teruk akibat kemalangan yang berlaku di Presint 10 semalam.
Noor Atiqah Sulaiman

BERPANTANG maut sebelum ajal. Itu dialami seorang pemandu trak tunda yang hanya cedera ringan walaupun kenderaan berat dipandu remuk akibat kemalangan jalan raya.

Difahamkan mangsa berusia 20-an hanya mengalami luka dan retak di bawah mata sejurus lori tunda dipandu hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pokok berhampiran Presint 10, Putrajaya.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hasan berkata, kemalangan berlaku di Persiaran Utara susur ke Presint 10 kira-kira jam 4.35 petang semalam.

Katanya, siasatan awal mendapati pemandu lori tunda berkenaan memandu dari arah Uniten, Bangi menuju ke Putrajaya bagi menunda kereta rosak.

“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa hilang kawalan dan melanggar pokok di bahu kiri jalan hingga menyebabkan lori tunda yang dipandunya rosak teruk,” katanya.

Sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Putrajaya yang mendapat maklumat berhubung kejadian itu segera pergi ke lokasi kejadian sebelum memberi rawatan kecemasan kepada mangsa.

“Pemandu lori itu kemudian dibawa ke Hospital Putrajaya bagi tindakan lanjut. Mangsa kini dalam keadaan stabil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Februari 2020 @ 6:44 PM