PELANCARAN Pra Jannamanjung Felowship Ride Manjung oleh Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie (empat kiri) dan Roslan (enam kiri). FOTO Amirudin Sahib
PELANCARAN Pra Jannamanjung Felowship Ride Manjung oleh Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie (empat kiri) dan Roslan (enam kiri). FOTO Amirudin Sahib
Redzuan Muharam


TENAGA Nasional Berhad (TNB) optimis penganjuran program berbasikal santai Janamanjung Fellowship Ride (JMFR) yang akan diadakan pada 29 Mac depan berupaya memberi pulangan RM5 hingga RM6 juta kepada pembangunansosio ekonomi daerah Manjung, Perak.

Pengarah Urusan TNB Janamanjung, Datuk Shamsul Ahmad berkata, keyakinan itu berdasarkan sambutan baik terhadap penganjuran JMFR yang kini me masuki edisi ke-13 dan bakal dimeriahkan dengan penyertaan 1,500 peserta dari dalam dan luar negara.

Katanya, penganjuran JMFR sebagai acara tahunan TNB bukan hanya menjadi platform gaya hidup sihat tetapi membantu kerajaan negeri mempromosikan Manjung sebagai satu destinasi pelancongan di Perak.

“Setiap tahun, JMFR menerima sambutan menggalakkan dan sememangnya ia adalah acara yang dinantikan semua sejak penganjuran sulungnya pada 2008.

“Malah, ia menjadi acara tetap pelancongan Perak dan tahun ini lebih bermakna kerana setiap RM10 daripada yuran penyertaan akan disumbangkan kepada Yayasan Institut Jantung Negara (IJNF).

“Hasil kutipan itu akan disalurkan kepada IJNF bagi membantu pesakit yang memerlukan dan TNB turut akan menyumbang selain membuat kutipan daripada kakitangan dengan sasaran sumbangan sebanyak RM40,000,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pra Pelancaran JMFR yang disempurnakan Ketua Pegawai Korporat TNB Datuk Wira Roslan Ab Rahman di Ibu Pejabat TNB, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi IJNF, Toh Puan Datuk Seri Dr Aishah Ong; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN Holdings Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub; Ketua Pegawai Operasi IJN Holdings Sdn Bhd, Akmal Arief Mohamad Fauzi; dan Ketua Pegawai Penjanaan TNB, Roslan Abd Rahman.

JMFR diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-70 TNB dan peserta akan berkayuh sejauh 100 Kilometer (KM) bermula dan berakhir di Teluk Batik, Perak.

Sementara itu, Dr Aishah berkata, pihaknya berterima kasih kepada TNB kerana menganjurkan program yang akan memberi manfaat kepada pesakit di Institut Jantung Negara (IJN) menerusi sumbangan daripada hasil kutipan diperoleh.

“TNB sudah menjadi rakan bantuan kita sejak empat tahun lalu dan pernah memberi peruntukan sebanyak RM1.5 juta untuk projek bangunan asrama bagi memudahkan keluarga pesakit terutama golongan berpendapatan rendah dari luar Kuala Lumpur untuk menginap di IJN.

“Namun, kos rawatan pesakit bukan murah dan tahun lalu saja, IJNF memperuntukkan sebanyak RM6.4 bilion untuk membantu 180 kanak-kanak dan 105 dewasa.

“Menerusi program ini , sumbangan diterima akan dimasukkan ke dalam tabung IJNF dan dijangka membantu tiga pesakit yang memerlukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Februari 2020 @ 12:50 PM