Lebih 1,500 peserta bakal sertai JMFR 2018. - Foto TNB
Lebih 1,500 peserta bakal sertai JMFR 2018. - Foto TNB
Mohd Badlishah Mohd Ali

 

LEBIH 1,500 penggemar sukan berbasikal dijangka akan memeriahkan kayuhan berbasikal Janamanjung Fellowship Ride (JMFR) iaitu acara tahunan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang akan kembali pada 29 April ini.

Anggaran itu berdasarkan purata 1,357 penyertaan dalam tempoh empat tahun lalu sejak kali pertama diperkenalkan pada 2008.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dijangka melepaskan peserta JMFR 2018 yang menjadi sebahagian daripada kalendar pelancongan negeri, di Taman Rekreasi Pantai Resort, Teluk Batik.

Peserta JMFR edisi ke-11 akan berkayuh sejauh 147 kilometer melewati Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah TNB di Manjung serta kawasan sekitar Seri Manjung, Pasir Salak dan Ayer Tawar.

Setiap penyertaan bakal menerima sehelai kemeja T, jersi eksklusif JMFR 2018, pingat di garisan penamat selain jamuan makan tengah hari dan peluang memenangi hadiah hebat cabutan bertuah.

TNB menganjurkan JMFR sejak 2008 bagi menggalakkan gaya hidup sihat dan mempromosi kesedaran memulihara alam sekitar.

Peserta akan diiringi dan dipantau 100 marsyal dan 40 pegawai polis tempatan dengan ambulans dan kereta sokongan. 

Setiap kali diadakan JMFR dibanjiri penggemar sukan berbasikal, sama ada sebagai peserta mahupun penyokong.

Kerajaan Perak menerusi Pelancongan Perak, mengangkat JMFR sebagai program tahunan negeri sejak 2015.

Pada tahun ini, Kerajaan Perak akan menyediakan 30 gerai pameran dan jualan untuk agensi-agensinya pada hari pendaftaran 28 April ini.

Mereka yang berminat menyertai acara ini boleh mendaftar menerusi laman sesawang JMFR 2018 https://jmfr.tnbj.com.my sebelum 6 April 2018.

DATUK SERI ZAMBRY ABDUL KADIR
DATUK SERI ZAMBRY ABDUL KADIR

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Mac 2018 @ 11:36 AM