Muhaamad Hafis Nawawi


SERAMAI 105 daripada 107 rakyat Malaysia dan pasangan serta anak yang dibawa pulang dari Wuhan, China ditempatkan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan.

Bagaimanapun dua orang lagi tidak melepasi tapisan kesihatan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurut Wisma Putra, 88 rakyat Malaysia dan 19 pasangan dan anak bukan warganegara melepasi tapisan kesihatan yang dibuat oleh Kerajaan China sebelum dibenarkan menaiki pesawat.

“Walaupun sebelum ini dimaklumkan jumlah yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di China untuk pulang adalah 141 orang, tetapi jumlah sebenar yang hadir untuk menaiki pesawat adalah 107 orang.

“Sebilangan rakyat Malaysia yang dijadualkan dalam penerbangan ini tidak dapat meninggalkan Wuhan atas masalah logistik.

“Antaranya, mereka berada di luar bandar dan kesukaran untuk mendapatkan kenderaan menuju ke Wuhan atau ke lapangan terbang,” kata kenyataan itu.

RAKYAT Malaysia dan pasangan serta anak mereka yang ditempatkan di AKEPT, Bandar Enstek. FOTO Ihsan NADMA.
RAKYAT Malaysia dan pasangan serta anak mereka yang ditempatkan di AKEPT, Bandar Enstek. FOTO Ihsan NADMA.

Semua urusan di dalam pesawat dilakukan pasukan perubatan dan kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sebaik mendarat mereka dibawa menaiki bas ke Unit Kecemasan Udara (ADU) untuk melalui tapisan kesihatan yang mana, dua orang tidak melepasi tapisan dan dihantar ke HKL,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pusat pemantauan di AKEPT akan diselia oleh petugas kesihatan KKM selain tidak ada perhubungan dengan pihak luar yang dibenarkan termasuk ahli keluarga.

“Justeru, ahli keluarga atau sahabat handai diminta memahami situasi dan hendaklah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pelaksanaan pemantauan ini,” katanya.

Saringan kesihatan akan dibuat dua kali sehari bagi memastikan mereka benar-benar sihat dan dibenarkan keluar selepes tamat proses pemantauan.

Pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sudah dan sedang menghubungi keluarga terdekat bagi memaklumkan ketibaan mereka dan memberi penerangan berkaitan proses pemantauan yang perlu dilalui.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Februari 2020 @ 1:10 PM