Gambar hiasan
Gambar hiasan
Nurul Amanina Suhaini


SEBANYAK 43 kandungan atau berita palsu dan isu membabitkan Johor sudah dinafikan, dijelaskan dan diberikan kewaspadaan di portal Sebenarnya.my sejak Januari hingga 7 Jun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyanathan berkata, secara keseluruhannya sejumlah 393 berita palsu daripada pelbagai sumber sudah diambil tindakan terbabit.

Katanya, dalam tempoh itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuka 55 kertas siasatan berkaitan dengan kandungan bersifat palsu dan jelik.

"Dua daripada kertas siasatan terbabit adalah dari Johor dan enam suspek sudah didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

"Penciptaan atau penyebaran berita dan kandungan palsu adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

"SKMM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa berganding bahu menerusi Jawatankuasa Jenayah Siber dalam menangani penyebaran berita palsu secara berterusan terutamanya berkaitan Covid-19 yang boleh mengelirukan serta menimbulkan suasana tidak tenteram dalam kalangan rakyat," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, sekiranya ragu-ragu mengenai kesahihan sesuatu berita selain mahu mendapatkan maklumat terkini, mereka dinasihati melayari portal Sebenarnya.my atau sertai saluran Telegram Sebenarnya.my di pautan https://t.me/sebenarnyamy.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 5:14 PM