AZISMAN. FOTO arkib NSTP
AZISMAN. FOTO arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan supaya akta sedia ada dipinda untuk memberi hukuman lebih berat dan setimpal kepada mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata, cadangan itu akan dibawa ke Kementerian Pengangkutan untuk meminda undang-undang itu di parlimen.

Menurutnya, mengikut undang-undang sedia ada, individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

"Bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan.

"Di peringkat kita (PDRM) akan berbincang dari sudut perundangan dan akan dibawa ke Kementerian Pengangkutan cadangan itu," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kejadian lelaki yang dibelasah orang awam selepas pacuan empat roda dipandunya merempuh dua motosikal sehingga menyebabkan kematian dalam kemalangan di Jalan Kebun, Klang, semalam.

Azisman berkata, pihaknya masih menunggu keputusan ujian darah lelaki yang merempuh dua motosikal itu daripada Jabatan Kimia.

"Polis memang mengambil perhatian isu pemandu mabuk ini terutama di bandar besar yang terdapat pusat hiburan.

"Kita ada pegawai penguat kuasa bersama alat untuk mengesan kandungan alkohol yang memantau mereka," katanya.

Sementara itu, polis akan menguatkuasakan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi menangani isu samseng jalanan yang memperuntukkan hukuman denda tinggi dan penjara.

"Sesiapa yang bawa kenderaan berbahaya dan melulu akan disiasat mengikut seksyen ini yang amat ditakuti golongan mat rempit jika mereka ditahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 7:17 PM