KUMPULAN busking selawat adik beradik terdiri daripada Muhammad Akmal Hakim Rizal, 16, Muhammad Aiman Hakim, 14, Muhammad Hafiz Hakim, 18, dan Lokman Hakim, 19, ketika busking selawat di pasar malam Bukit Baru, Melaka. FOTO Nazri Abu Bakar
KUMPULAN busking selawat adik beradik terdiri daripada Muhammad Akmal Hakim Rizal, 16, Muhammad Aiman Hakim, 14, Muhammad Hafiz Hakim, 18, dan Lokman Hakim, 19, ketika busking selawat di pasar malam Bukit Baru, Melaka. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


TIADA siapa menduga kumpulan ‘busking’ yang mengalunkan selawat di tapak pasar malam sekitar negeri ini dianggotai empat beradik.

Kemahuan dalam meningkatkan syiar Islam mendorong mereka aktif dalam aktiviti itu sekali gus membantu menyumbang kepada tabung pembinaan pondok dan surau termasuk di Sabah.

Muhammad Akmal Hakim Rizal, 16, berkata, dia berjinak-jinak dengan kumpulan selawat berkenaan sejak lima tahun lalu.

Katanya, dia bersama dua abangnya, Lokman, 19; Muhammad Hafiz, 18; dan adiknya, Muhammad Aiman, 14, seronok menyertai kumpulan busking Persatuan Pengajian Sri Rahmat Nurusa’adah yang beroperasi di Tangkak, Johor itu.

Katanya, dia tinggal di Tehel, Jasin dan ia tidak jauh dari Tangkak, seterusnya membolehkannya aktif dalam kumpulan berkenaan.

“Lebih teruja, kami empat beradik bersama-sama dalam kumpulan yang turut dibimbing ustaz dan rakan berpengalaman untuk memperdengarkan selawat serta qasidah kepada umum,” katanya.

Sementara itu, ketua kumpulan, Redha Muhammad, 41, berkata, komitmen tinggi empat beradik itu amat membanggakan malah mereka juga mahir memainkan darbuka, tamburin dan marakas sambil berselawat.

“Kumpulan ini penuh dengan kelainan malah ia secara tidak langsung mendidik remaja dan orang ramai untuk lebih dekat dengan agama selain aktiviti keagamaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 1:10 PM