ZALILAWATI (duduk dua dari kiri) ketika di perkarangan unit Forensik HRPZ II. (Gambar kecil) Khairul Anuar. FOTO Siti Rohana dan Ihsan Pembaca.
ZALILAWATI (duduk dua dari kiri) ketika di perkarangan unit Forensik HRPZ II. (Gambar kecil) Khairul Anuar. FOTO Siti Rohana dan Ihsan Pembaca.
Siti Rohana Idris


ANGGOTA polis maut selepas rebah secara tiba-tiba ketika berjoging seorang diri di Taman Tengku Anis, di Kota Bharu, pada 10 pagi, hari ini.

Kejadian disedari orang awam yang kemudian menghubungi ambulans, sebelum disahkan sudah meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

Mangsa, Koperal Khairul Anuar Md Nor, 44, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Chepa di sini, meninggalkan seorang balu, Zalilawati Deraman, 45, dan lima anak berusia tujuh hingga 22 tahun.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan diklasifikasi sebagai kematian mengejut.

Sementara itu, Zalilawati berkata, dia mengetahui kejadian itu apabila seorang kenalan menunjukkan gambar ditularkan orang ramai dan meminta kesahihan sama ada suami atau orang lain.

Menurutnya, sebaik mengesahkan mangsa adalah suaminya, dia menghubungi ahli keluarga dan bergegas ke Unit Forensik HRPZ II.

Zalilawati yang bekerja di sebuah kilang di Pengkalan Chepa, di sini, berkata, biasanya dia akan menemani suami berjoging jika tidak bekerja.

Menurutnya, tiada sebarang perubahan yang dilihat dan kali kali terakhir dia berjumpa suami petang semalam. ketika membawa tiga anak bersiar-siar dengan kereta sekitar Pasir Mas, sebelum bekerja syif malam.

“Cuma, baru-baru ini suami ada berpesan supaya saya kembali memandu kereta sendiri, dengan alasan mudah jika dia tiada nanti.

“Tak sangka rupa-rupanya ‘tiada’ itu bermaksud dia akan pergi selamanya.

“Saya sudah lama ada lesen memandu, tetapi disebabkan terlalu lama tidak memandu (kereta) sendiri dan sering bergantung kepada suami untuk ke mana-mana, keberanian itu hilang,” katanya ketika ditemui di UNit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), hari ini.

Katanya, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gertak Lembu, Salor, selepas solat Asar hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 3:19 PM