MOHD Daud (dua kiri) dan Yusop (dua kanan) menyerahkan dokumen persefahaman sambil disaksikan Setiausaha MRI, Dr Shahrizal Azuan (kiri) dan Pengarah Mutual Empire, Zubida Mohamed Haroon. FOTO Nurul Shafina Jemenon
MOHD Daud (dua kiri) dan Yusop (dua kanan) menyerahkan dokumen persefahaman sambil disaksikan Setiausaha MRI, Dr Shahrizal Azuan (kiri) dan Pengarah Mutual Empire, Zubida Mohamed Haroon. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Rosyahaida Abdullah


INSTITUT Makanan Malaysia (FIM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Malaysian Relief Agency (MRA) bagi melaksanakan program latihan khusus untuk golongan sasar dibawah MRA.

Ketua Eksekutif FIM, Yusop Khan Loth Khan berkata, antara fokus utama MoU meliputi penyediaan latihan penyediaan makanan buat golongan pelarian, orang asli dan asnaf di MRA selain terbabit dalam misi bantuan membabitkan musibah.

Jelasnya, tiada tempoh ditetapkan bagi kerjasama terbabit malah kerjasama akan diperluas ke pelbagai aspek lain yang dilihat boleh memberi manfaat kedua-dua pihak.

“Menerusi MoU ini, penuntut FIM berpeluang menyertai aktiviti kesukarelawanan di bawah MRA di mana aktiviti kemasyarakatan sememangnya antara elemen utama dalam sukatan pengajian di FIM.

“Pada masa sama, bagi meningkatkan ekonomi golongan sasar, kita boleh menyediakan latihan kemahiran khususnya dalam bidang kita iaitu masakan serta perkhidmatan makanan.

“Ia sama ada kita akan turun ke tempat golongan sasar khususnya pedalaman atau kumpulan terbabit dibawa ke institusi kami untuk belajar kemahiran itu di sini,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani MoU di Petaling Jaya, hari ini.

Sementara itu, Presiden MRA, Dr Mohd Daud Sulaiman berkata, antara projek pertama yang sudah dibincang meliputi kursus jangka pendek untuk melatih kemahiran dalam bidang masakan membabitkan golongan remaja yang luar bandar yang dibantu MRA.

“Kita mempunyai sekolah pelarian untuk masyarakat Rohingya di mana pelajarnya terdiri daripada pra-sekolah hingga belasan tahun. Inilah sasaran utama untuk kami bantu dari segi kemahiran demi kelangsungan hidup dan boleh berdikari pada masa depan.

“Disebabkan status pelarian, mungkin mereka tidak berpeluang untuk belajar jadi kita akan adakan kelas bukan saja untuk golongan remaja malah kaum ibu juga yang turut membabitkan komuniti orang asli dan asnaf.

“Dalam pada itu, kita juga memerlukan sukarelawan apabila perlu pergi ke tempat dilanda musibah di mana dalam kes seperti tsunami di Indonesia misalnya, kita menghantar pasukan sukarelawan bertali arus selama tiga hingga empat bulan.

“Mereka ini pergi ke kawasan musibah yang terang-terangan bukannya tinggal di hotel, oleh itu perlunya sukarelawan berlatarbelakangkan kemahiran seperti penuntut FIM untuk turut serta dalam misi kami, bukan sekadar pegawai perubatan dan seumpamanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 January 2020 @ 10:07 PM